Ismail Sabri pilihan terbaik memimpin negara: Pemuda Pas

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Pas menyokong pencalonan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas mengambil kira kebolehan dan pengalaman Ahli Parlimen Bera itu.

Ketua Pemuda Pas, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, walaupun Pas kecewa dengan tindakan segelintir Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) namun Ismail Sabri yang dilihat pilihan terbaik untuk memimpin negara.

Menurut beliau, pemilihan bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga diyakini mampu memberikan kesan terbaik kepada pentadbiran negara khususnya dalam menangani Covid-19.

“Kita tidak secara langsung mengeluarkan kenyataan secara sedemikian, sebab kita dalam keadaan berduka cita dengan tindakan mereka (menarik sokongan kepada kerajaan PN), maka jatuhlah kerajaan PN yang sedang fokus menangani Covid-19.

“Apa pun saya menganggap ia telah menjadi sesuatu perkara yang akademik. Kita perlu terus ke hadapan dan kita semua sepakat menyokong Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri kesembilan kerana dari sudut peribadinya saya melihat beliau ada kebolehan dan pengalaman.

“Kemudiannya dari sudut kedudukan beliau dalam PN sebelum ini adalah sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya dalam satu video ringkas yang dikongsikan di Facebook Dewan Pemuda Pas Malaysia pada Jumaat.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka mengumumkan pelantikan perdana menteri baharu selepas mengadakan pertemuan khas bersama Raja-Raja Melayu pada petang Jumaat.

Artikel Berkaitan: