'Kembalikan Terminal Bas Medan Gopeng'

Mohd Tarmizhi menunjukkan surat arahan yang dikeluarkan pihak Terminal Amanjaya supaya syarikat mengosongkan kaunter masing-masing berikutan pelaksanaan CTS.
Mohd Tarmizhi menunjukkan surat arahan yang dikeluarkan pihak Terminal Amanjaya supaya syarikat mengosongkan kaunter masing-masing berikutan pelaksanaan CTS.
A
A
A

IPOH - Pertubuhan Kebajikan Agen Jualan Tiket Bas Ekspres Silveritage Medan Gopeng sedang berusaha mengembalikan operasi Terminal Bas Medan Gopeng seperti sebelum ini.

Pengerusinya, Mohd Tarmizhi Mohd Yusof berkata, cadangan itu dibuat bagi menyelamatkan lebih 200 ejen jualan tiket yang bakal kehilangan pekerjaan akibat pelaksanaan Sistem Tiket Berpusat (CTS) di Terminal Amanjaya, Bandar Meru Raya, di sini.

Beliau berkata, pelaksanaan CTS itu akan menyebabkan 43 kaunter tiket syarikat bas yang beroperasi di Terminal Amanjaya itu ditutup sekaligus ejen tiket bas berdepan kemungkinan diberhentikan.

"Setiap kaunter tiket syarikat bas mempunyai 3 hingga 5 pekerja. Bila CTS ini dilaksanakan, mereka tidak memerlukan kaunter yang banyak. Dengan tiada pampasan diberikan kepada kami, jadi pengusaha bas terpaksa menanggung masalah pekerja ini.

"Oleh sebab itu kami tampil dengan cadangan agar Terminal Bas Medan Gopeng dihidupkan semula bagi membolehkan kaunter yang ditutup itu beroperasi di sini. Malah terminal baharu itu boleh menjadi alternatif kepada penumpang sama ada mahu ke Terminal Amanjaya atau Medan Gopeng," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Silveritage Medan Gopeng, di sini.

Menurutnya, Terminal Bas Medan Gopeng itu nanti akan memudahkan penumpang di sebelah selatan manakala Terminal Amanjaya pula boleh memberi perkhidmatan kepada penumpang di sebelah utara.

Mohd Tarmizhi berkata, pihaknya sudah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Perak untuk tujuan tersebut dan pihak Majuperak Holding selaku pemilik Kompleks Silveritage sudahpun memberikan kebenaran menggunakan kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mohd Tarmizhi (kanan) menunjukkan kertas cadangan Terminal Bas Medan Gopeng yang telah diserahkan kepada Pejabat Menteri Besar Perak untuk dilaksanakan.
Mohd Tarmizhi (kanan) menunjukkan kertas cadangan Terminal Bas Medan Gopeng yang telah diserahkan kepada Pejabat Menteri Besar Perak untuk dilaksanakan.

"Pembukaan terminal di kawasan itu nanti akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak pertubuhan dan pengusaha bas dengan anggaran RM800,000. Cuma pihak kami memerlukan bantuan kerajaan negeri untuk memudahkan kami mendapatkan permit mengambil dan menurunkan penumpang di terminal itu nanti," katanya.

Mohd Tarmizhi berkata, pihaknya ingin membantu kerajaan mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini tanpa menggunakan pembiayaan kerajaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Syarikat Bas Cekap Ekspres Sdn Bhd, Abu Hanifah Mohd Said turut mengalu-alukan cadangan tersebut.

Katanya, laluan Terminal Bas Medan Gopeng bukanlah asing bagi mereka kerana sebelum adanya Terminal Amanjaya mereka beroperasi di situ.

"Kita memerlukan ejen di kaunter sendiri dan penumpang bebas memilih perkhidmatan yang mereka inginkan. Malah dengan adanya kaunter sendiri kita boleh pastikan jualan tiket dapat dibuat dengan teratur.

"Ejen jualan tiket juga tak perlu berhenti kerja dan boleh menyara keluarga mereka jika adanya kaunter ini," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan CTS itu di Larkin Sentral dan Terminal Bandar Tasik Selatan menyebabkan pendapatan syarikatnya merosot sebanyak 50 peratus.

Menurutnya, setiap bulan mereka mengalami kerugian RM100,000 disebabkan penjualan tiket berpusat itu.