Ismail Sabri penuhi semua kriteria sebagai PM

Abdul Rahman Mohamad
Abdul Rahman Mohamad
A
A
A

LIPIS - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memenuhi semua kriteria untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri ke-9.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berpandangan demikian dengan bersandarkan pengalaman yang dimiliki oleh Ismail Sabri yang banyak membantu memimpin negara.

"UMNO dipimpin oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencapai kata sepakat untuk menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri ke-9.

"Ahli Parlimen Bera ini pemimpin UMNO yang memenuhi semua kriteria untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

"Saya bersyukur kerana berpeluang berkhidmat bersama beliau apabila turut menjadi ahli Kabinet dalam kerajaan yang lepas dan berjuang bersama sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia. Banyak episod suka dan duka serta cabaran dilalui bersama," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Katanya, Ismail Sabri bukan asing bagi dirinya dan ahli UMNO.

Tambahnya, Ismail Sabri seorang anak Pahang dan sangat menjiwai masyarakat luar bandar malah ketika Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri, beliau mengemudi Kementerian Luar Bandar dan pencapaiannya di kementerian itu adalah sesuatu yang perlu diiktiraf.

"Ketika Datuk Seri Ismail Sabri dilantik sebagai Menteri Kanan, beliau diberikan peranan sebagai Menteri Penyelaras Covid-19 serta menjadi jurucakap kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Nama beliau mula melonjak dan diberikan tumpuan oleh rakyat. Beliau cukup matang dalam menghadapi krisis. Tidak ada rakyat tidak mengenalinya sehingga dikenali dengan jolokan Pak Long Mail, malah kanak-kanak turut mengenalinya sebagai Atok Mail," katanya lagi.

Dalam pada itu, Abdul Rahman memberitahu, Ismail Sabri juga berpengalaman luas sebagai anggota Kabinet apabila berkali-kali dilantik sebagai menteri iaitu Menteri Belia dan Sukan pada tahun 2008; Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) (2009); Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2013) pada tahun 2015 sebagai Menteri di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis juga memberitahu, dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN), Ismail Sabri salah seorang menteri yang mewakili UMNO dan rakyat dapat melihat betapa jauh jurang perbezaan kualiti dan kredibiliti seorang menteri parti ini dengan menteri daripada kerajaan sebelumnya.

"Beliau berjaya merakyatkan kepimpinannya, berkeperibadian tinggi dan sangat berkredibiliti," katanya.