KASA peruntuk RM5 juta baiki kerosakan sistem bekalan air

Laporan Sinar Harian pada Khamis mengenai fenomena kepala air di puncak Gunung Jerai sehingga menyebabkan banjir lumpur di Kuala Muda dan Yan, Kedah.
Laporan Sinar Harian pada Khamis mengenai fenomena kepala air di puncak Gunung Jerai sehingga menyebabkan banjir lumpur di Kuala Muda dan Yan, Kedah.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukan hampir RM5 juta sebagai dana awal tindakan kecemasan untuk melaksanakan kerja pembaikan kerosakan akibat banjir lumpur di Yan dan Kuala Muda, Kedah.

Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dalam kenyataannya berkata, kerja-kerja pembaikan kerosakan meliputi sistem bekalan air, saliran, pengairan dan tebatan banjir.

"Peruntukan ini telah digunakan serta merta bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan dijalankan pada kadar segera," katanya pada Isnin.

Menurutnya, agensi kementerian, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menyelaras kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan air.

"Ia termasuklah menggerakkan anggota 60 Rejimen Pakar Air RAJD (AW), bantuan lori tangki operator air untuk penghantaran bekalan dan pengagihan bantuan 1,000 botol (5 liter sebotol) air minuman kepada penduduk di kawasan terjejas," katanya.

Beliau berkata, dua punca utama telah dikenalpasti menyebabkan kejadian banjir iaitu hujan lebat luar biasa dalam tempoh singkat di kawasan puncak Gunung Jerai yang menyebabkan berlaku fenomena kepala air.

"Dianggarkan purata taburan hujan sebanyak 278 mm telah turun dalam tempoh lapan jam," katanya.

Zaini berkata, banjir juga berpunca daripada halangan sampah sarap, kayu dan reba pokok yang tersangkut pada binaanstruktur jambatan dan lintasan.

Artikel Berkaitan:

"Ia menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan sekitar terutamanya di Kampung Tupah dan Taman Tupah," katanya.

Kerajaan negeri jelas beliau akan memperbaiki segera kerosakan infrastruktur seperti bekalan elektrik, sistem perparitan, jalan raya dan jambatan.

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengikuti ramalan cuaca yang disediakan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia)," katanya.

Tambah Zaini, saluran air seperti longkang yang berdekatan rumah atau kawasan berisiko banjir perlu dipastikan tidak tersumbat bagi melancarkan saliran air hujan.