Pengasas Rumah Bonda mengaku tidak bersalah abai kanak-kanak

Siti Bainun (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, atas kesalahan mengabaikan kanak-kanak perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Siti Bainun (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, atas kesalahan mengabaikan kanak-kanak perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengasas Rumah Bonda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat berhubung pertuduhan mengabaikan kanak-kanak perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Siti Bainun Ahd Razali, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak itu telah mengabaikannya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah unit di Irama Wangsa Kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun lalu.

Atas pertuduhan itu, Siti Bainun yang aktif dalam sebuah parti politik didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 beserta syarat tidak mengganggu mangsa atau saksi, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

"Kes ini termasuk dalam kes berkepentingan awam malah sesuai dengan hasrat kerajaan untuk melindungi kanak-kanak yang juga orang kurang upaya (OKU) dan mendapat liputan meluas di media.

"Mangsa dalam kes ini merupakan seorang OKU Sindrom Down selain tertuduh terbabit dalam kegiatan politik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor merayu diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan telah memberikan kerjasama kepada pihak polis selain mahu membersihkan namanya di mahkamah.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Izralizam membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga perlu mematuhi syarat tambahan dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 4 Oktober depan.

Sebelum ini pemilik sebuah rumah jagaan mencetuskan kemarahan orang ramai susulan pendedahan mengenai penderaan terhadap seorang remaja OKU.