Peniaga kosmetik maut, isteri dan 2 anak cedera

Remuk...Keadaan kedua-dua buah kenderaan yang bertembung di lokasi kejadian KM 11, Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris, berhampiran Kampung Matang, Hulu Terengganu pada Khamis. - Foto ihsan PDRM
Remuk...Keadaan kedua-dua buah kenderaan yang bertembung di lokasi kejadian KM 11, Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris, berhampiran Kampung Matang, Hulu Terengganu pada Khamis. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

HULU TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Seorang peniaga kosmetik maut manakala isteri dan dua anak perempuannya cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer (KM) 11, Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris, berhampiran Kampung Matang, di sini, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, Muhammad Marhafizan Muhammad, 28, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian bagaimanapun isterinya yang berusia 29 tahun serta dua anak mereka masing-masing berusia dua dan 10 tahun dilaporkan hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Wira dikatakan dari arah Jabi, Besut hilang kawalan ketika melalui selekoh di lokasi kejadian.

"Akibatnya kenderaan dinaiki empat beranak itu berpusing dua kali dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah kereta jenis Honda Civic yang dipandu seorang pesara, 57, dari arah Kuala Berang, di sini menghala ke Kuala Jeneris.

"Akibat jarak terlalu dekat, kenderaan dinaiki dua beranak itu tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kenderaan mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut manakala semua mangsa yang cedera termasuk pemandu kereta Honda Civic bersama anak perempuannya, 18, turut menerima rawatan di hospital sama.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000, jika disabitkan kesalahan.

Artikel Berkaitan: