11 wanita ditahan dalam empat serbuan di hotel bajet

Kesemua yang ditahan dibawa ke IPK Pulau Pinang untuk siasatan lanjut. -Foto ihsan Facebook Polis Pulau Pinang
Kesemua yang ditahan dibawa ke IPK Pulau Pinang untuk siasatan lanjut. -Foto ihsan Facebook Polis Pulau Pinang
A
A
A

SEBERANG PERAI - Sebuah sindiket pelacuran menggunakan aplikasi WeChat tumpas selepas 11 wanita yang terdiri daripada tiga warga tempatan dan lapan warga asing ditahan pada petang Khamis.

Selain wanita yang dipercayai menjalankan aktiviti tidak bermoral itu, polis turut menahan dua lelaki yang merupakan pelanggan dan penjaga hotel.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd Ra’ais berkata, penahanan itu dibuat selepas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menyerbu empat buah hotel bajet di sekitar Bukit Mertajam, Butterworth serta Simpang Ampat.

Menurutnya, kesemua wanita berusia lingkungan 25 hingga 47 tahun itu ditahan dalam Ops Noda Bersepadu pada jam 3 petang.

"Sindiket ini menggunakan aplikasi WeChat sebagai medium untuk menarik minat pelanggan. Pelanggan yang berminat akan menempah lalu dibawa oleh sindiket untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral di hotel bajet.

"Sindiket itu menjadikan hotel bajet di sekitar Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara serta Seberang Perai Selatan untuk menjalankan kegiatan mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Rahimi berkata, lapan wanita warga asing itu terdiri daripada warga Thailand, Indonesia serta Vietnam.

"Mereka ini menawarkan perkhidmatan melalui aplikasi WeChat. Setelah dipersetujui, mereka akan ke hotel bajet yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal mendapati, sindiket ini mengenakan bayaran antara RM120 hingga RM200 untuk setiap kali perkhidmatan yang diberikan," katanya.

Rahimi berkata, polis turut merampas peralatan untuk kegiatan pelacuran antaranya tisu; kondom; pelincir, wang tunai dan telefon bimbit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan manakala pengusaha hotel dikenakan kompaun mengikut Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

"Kita akan terus menjalankan operasi dari masa ke semasa dan orang awam yang mempunyai maklumat, diminta terus menyalurkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.