Peluru berpandu Israel ditembak jatuh di Syria

Gambar fail menunjukkan peluru berpandu Israel berjaya dipintas pasukan pertahanan udara Syria. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan peluru berpandu Israel berjaya dipintas pasukan pertahanan udara Syria. - Foto AFP
A
A
A

DAMSYIK - Tentera Israel didakwa melancarkan serangan peluru berpandu dengan menyasarkan depot senjata dekat Damsyik dan kedudukan Hizbollah di sekitar Homs lewat Khamis.

Satu sumber tentera memberitahu agensi berita SANA bahawa sistem pertahanan udara Syria bertindak balas terhadap serangan tersebut dan berjaya menembak jatuh kebanyakan peluru berpandu tersebut.

Sebuah badan dikenali sebagai Pemantau Untuk Hak-Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang beribu pejabat di Britain menyatakan bahawa peluru-peluru berpandu Israel itu menyasarkan depot senjata dan kedudukan anggota-anggota Syiah Hizbollah antara Damsyik dengan Homs.

Setakat ini SANA dan SOHR tidak melaporkan sebarang kerosakan dan kecederaan atau kematian.

Media Lubnan turut melaporkan dua peluru berpandu jatuh di wilayah Qalamoun di sempadan negara itu.

Dalam pada itu, seorang jurucakap tentera negara haram Israel memberitahu AFP bahawa pihaknya tidak memberikan sebarang komen mengenai maklumat yang diperoleh daripada media asing.

Bagaimanapun, sejak permulaan perang di Syria sepuluh tahun lalu, rejim Zionis itu telah melancarkan banyak serangan udara ke atas wilayah Syria dengan menyasarkan kedudukan tentera Syria dan Hizbollah yang bersekutu dengan Iran. - Agensi

Artikel Berkaitan: