Identiti penunjuk perasaan koma terkena tembakan sudah dikenal pasti

Polis yang bertempur dengan penunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok melepaskan gas pemedih mata, meriam air dan peluru getah untuk mengawal keadaan pada Selasa. - Foto Bernama
Polis yang bertempur dengan penunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok melepaskan gas pemedih mata, meriam air dan peluru getah untuk mengawal keadaan pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Identiti penunjuk perasaan yang koma akibat terkena tembakan ketika menyertai tunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok sudah dikenal pasti selepas ibunya melawat mangsa di hospital pada Selasa.

Dalam satu kenyataan, Hospital Rajavithi Bangkok memaklumkan, mangsa seorang remaja lelaki berusia 15 tahun kini dalam keadaan kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

Namun, maklumat lanjut termasuk nama mangsa tidak dimaklumkan.

Media sebelum ini melaporkan ketika kejadian mangsa berusia lingkungan 20-an itu tidak membawa kad pengenalan.

Menurut pihak hospital, pembedahan untuk mengeluarkan peluru di bahagian atas saraf tunjang akan dibuat selepas keadaannya stabil.

Mangsa dilaporkan ditembak semasa menyertai tunjuk perasaan di Persimpangan Din Daeng berhampiran kediaman Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha pada Isnin.

Polis yang bertempur dengan penunjuk perasaan melepaskan gas pemedih mata, meriam air dan peluru getah untuk mengawal keadaan.

Seorang lagi mangsa berusia 14 tahun mengalami luka di bahu dan seorang lelaki berusia 16 tahun cedera di kaki.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Biro Polis Metropolitan menafikan menggunakan peluru hidup untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Timbalan Jurucakap Polis Diraja Thailand, Kolonel Kritsana Pattanacharoen berkata, sejak Julai tahun ini seramai 186 orang telah ditahan kerana melanggar peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Asia-Pasifik Amnesty International, Emerlynne Gil mendesak pihak berkuasa Thailand untuk segera menyiasat insiden tembakan itu.

"Polis perlu bertindak mengikut peraturan ketika menangani penunjuk perasaan dan perlu mengelak menggunakan kekerasan yang melampau,” katanya dalam satu kenyataan. - Bernama