Banjir: Rumah inap rosak, pengusaha rugi RM100,000

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

YAN - Seorang pengusaha rumah inap di kawasan peranginan di Seri Perigi di sini mendakwa kerugian kira-kira RM100,000 ekoran banjir yang disebabkan fenomena kepala air dari Gunung Jerai, petang Rabu.

Asomuddin Ahmad, 45, berkata, rumah inap kepunyaan Allahyarham bapa mentuanya yang mempunyai 12 bilik itu mengalami kerosakan pada bahagian tertentu bangunan dan dipenuhi lumpur tebal selain kerosakan perabot akibat terkena air.

“Saya bersama isteri mengusahakan homestay (rumah inap) ayah mentua ini sejak 2014 tetapi sejak pandemik tahun lepas homestay ini tidak beroperasi. Apabila berlaku musibah seperti ini bebanan kewangan lagilah kami terasa.

“Justeru kami mengharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan sewajarnya bagi membantu membaik pulih homestay ini sekali gus dapat beroperasi sepenuhnya selepas sektor pelancongan dibenarkan beroperasi,” katanya ketika ditemui Bernama di sini pada Khamis.

Mengulas mengenai kejadian pada Rabu, Asomuddin berkata, kawasan itu mula dilimpahi arus deras daripada air terjun yang berhampiran dengan rumah inapnya pada kira-kira jam 4 petang selepas hujan lebat sejam sebelum itu.

Sementara itu, peniaga kedai makan Abdul Rahim Awang, 58, pula berkata, semua peralatan kedai makannya seperti kerusi dan meja tidak dapat diselamatkan kerana dihanyutkan arus deras dalam kejadian itu sekali gus menyebabkan kerugian kira-kira RM2,000.

Menurutnya, sejak mula berniaga di kawasan itu 16 tahun lepas, belum pernah kejadian seperti itu berlaku di kawasan tersebut.

“Saya tak berniaga sepenuhnya sejak awal tahun ini kerana Covid-19 dan bila kedai pun dinaiki air dengan penuh lumpur serta ada barangan kedai hanyut, saya rasa sangat terbeban. Duit pun terhad bila kedai tak boleh buka, ditambah pula dengan bencana macam ini, lagilah saya terdesak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu beliau turut berharap agar bantuan yang sesuai oleh kerajaan dapat disalurkan kepada peniaga kecil yang terjejas akibat bencana itu bagi membolehkan operasi perniagaan dijalankan semula bagi mencari sumber pendapatan.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di kawasan peranginan dan rekreasi itu mendapati persekitarannya dipenuhi ranting dan kayu selain lumpur kesan daripada kejadian pada Rabu. - Bernama