Polis patahkan cubaan seludup 2.38 tan minyak masak peket

Minyak masak peket bersubsidi yang diselamatkan daripada lolos ke negara jiran dalam satu serbuan di Pasir Mas pada Rabu.
Minyak masak peket bersubsidi yang diselamatkan daripada lolos ke negara jiran dalam satu serbuan di Pasir Mas pada Rabu.
A
A
A

PASIR MAS - Polis berjaya menyelamatkan sebanyak 2.38 tan minyak masak peket bersubsidi bernilai RM5,796 daripada lolos ke negara jiran dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Bechah Palas di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, serbuan pada jam 4.20 petang itu turut menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berkaitan rampasan tersebut.

"Selepas lelaki itu ditahan, anggota bertugas membuat pemeriksaan di atas rumah berkenaan sambil disaksikan suspek dan membawa kepada penemuan barangan subsidi tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, serbuan turut membawa kepada rampasan gula seberat 240 kilogram dianggarkan bernilai RM600.

Menurutnya, kesemua barangan kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati suspek menyimpan minyak masak tersebut di dalam rumah sebelum dibawa ke sempadan untuk diseludup ke negara jiran.

Artikel Berkaitan: