Banjir di Yan: Lebih 12,000 akaun SADA terjejas

Abdullah Hashim (kiri) melawat kawasan terjejas akibat fenomena kepala air bersama Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah.
Abdullah Hashim (kiri) melawat kawasan terjejas akibat fenomena kepala air bersama Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah.
A
A
A

MERBOK - Operasi loji rawatan air di Merbok, Gurun dan Tupah ditutup buat sementara waktu susulan kejadian fenomena kepala air di Gunung Jerai, pada Rabu.

Pegawai Daerah Kuala Muda, Abdullah Hashim berkata, penutupan itu menyebabkan lebih 12,000 akaun penduduk di Daerah Kuala Muda terjejas sekali gus menyebabkan terputus bekalan.

Menurutnya, bekalan akan disambung semula sehingga kadar kekeruhan air mentah dan aliran air kembali rendah.

"Operasi bekalan air dihenti tugas disebabkan kadar kekeruhan air mentah yang tinggi selain kadar aliran air yang laju," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian fenomena kepala air di Taman Lembah Merbok, pada Khamis.

Katanya, bekalan air dihantar Syarikat Air Darul Aman (SADA) ke kawasan terjejas dari masa ke semasa bagi membolehkan mangsa melakukan kerja-kerja pembersihan akibat dilanda banjir lumpur.

Keadaan rumah mangsa terjejas fenomena kepala air dipenuhi banjir lumpur. Gambar kecil: Hanif Ghazali
Keadaan rumah mangsa terjejas fenomena kepala air dipenuhi banjir lumpur. Gambar kecil: Hanif Ghazali

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian mendapati, pasukan bomba sukarela turut membantu menghantar bekalan air bagi membolehkan penduduk membersihkan rumah masing-masing yang terjejas.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Hanif Ghazali berkata, pihaknya menganggarkan kira-kira 300 buah keluarga terjejas sekitar Merbok.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bermula Rabu, sebanyak 300 pek makanan makan malam siap masak diserahkan kepada penduduk.

"Hari ini, kita sediakan 800 pek makanan makan tengah hari untuk diagihkan kepada mangsa dan petugas terlibat," katanya.

Menurut beliau, bantuan makanan disalurkan bagi meringankan beban mangsa selain menitik beratkan aspek kebersihan memandangkan kebanyakan peralatan dan perkakasan rumah masih dipenuhi lumpur.