Fenomena kepala air kerana hujan berintensiti tinggi: MetMalaysia

Pusat Peranginan Titi Hayun antara lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung suatu masa dahulu musnah dibadai kepala air pada Rabu.
Pusat Peranginan Titi Hayun antara lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung suatu masa dahulu musnah dibadai kepala air pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Fenomena kepala air yang berlaku di daerah Yan, Kedah pada Rabu antaranya disebabkan hujan dengan kadar atau intensiti tinggi di hulu sungai serta kawasan tanah tinggi, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah.

Beliau berkata, ia menyebabkan akar pokok atau kawasan tadahan air tidak dapat menampung atau menahan air tersebut untuk diserap ke dalam tanah, yang akhirnya menyebabkan limpahan.

Jelasnya, kejadian hujan lebat dan ribut petir yang berlaku di beberapa daerah di negeri Kedah termasuk Yan adalah berikutan daripada penerimaan tiupan angin dari arah barat laut yang membawa kelembapan tinggi dari Laut Andaman.

“Ini menyumbang kepada pembentukan awan aktif di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Beberapa kawasan kampung dan taman perumahan di sekitar Gunung Jerai dilanda banjir dipercayai akibat kejadian fenomena kepala air petang Rabu dan telah meragut empat nyawa.

Sementara itu, Muhammad Helmi berkata, corak cuaca lembap dan hujan lebat di negara ini dijangka berterusan sepanjang minggu ini.

Beliau berkata, Malaysia sedang berada dalam tempoh Monsun Barat Daya yang telah bermula 19 Mei lalu dan dijangka berakhir pada minggu kedua atau ketiga September ini.

“Dalam tempoh ini, lazimnya keadaan atmosfera di rantau negara adalah stabil dengan kelembapan yang rendah, menyebabkan kurang pembentukan awan hujan dan menyumbang kepada taburan hujan rendah.

Artikel Berkaitan:

“Namun adalah biasa untuk negara mengalami keadaan tempoh monsun melemah,” katanya.

Katanya, keadaan itu berlaku apabila terdapat perubahan tiupan arah angin memasuki rantau negara yang seterusnya menggalakkan pembentukan awan aktif dan menyebabkan keadaan cuaca yang lembap.

Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran cuaca waspada sehingga Jumaat melibatkan daerah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda dan Bandar Baharu di Kedah; daerah Kerian, Larut Matang dan Selama serta Manjung di Perak dan Pulau Pinang. - Bernama