1,292 graduan USAS terima skrol secara maya Sabtu ini

Anas
Anas
A
A
A

IPOH - Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) akan menyerahkan skrol kepada 1,292 graduannya pada Istiadat Konvokesyen ke-13 yang dijadual berlangsung secara maya pada 21 Ogos ini.

Timbalan Naib Canselor Pentadbiran dan Kewangan USAS, Dr Anas Md Yusof berkata, majlis yang akan berlangsung secara norma baharu itu akan diadakan melalui platform Zoom, Facebook rasmi USAS dan YouTube channel mulai jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Menurutnya, Istiadat Konvokesyen ke-13 USAS akan diisytiharkan oleh Pro Canselor USAS, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B), Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin.

“Majlis istiadat Konvokesyen ke-13 ini yang dijadualkan pada bulan Disember tahun 2020 telah ditangguhkan pelaksanaannya berikutan ketidaktentuan situasi penularan wabak Covid-19 yang masih menunjukkan peningkatan kes dari masa ke masa sehingga kini.

“Sehubungan itu, USAS telah mengambil inisiatif memohon perkenan Canselor USAS, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk membuat perisytiharan penganugerahan kepada graduan yang layak bergraduasi bagi memastikan sijil dan transkrip rasmi dapat dikeluarkan segera," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Khamis.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat kerana pihak USAS mengambil kira keperluan graduan terhadap sijil dan transkrip rasmi untuk urusan memohon pekerjaan, menyambung pengajian, pinjaman PTPTN dan lain-lain berkaitan pengajian.

Anas berkata, istiadat konvokesyen kali ini akan menyaksikan pemasyhuran Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin sebagai seorang lagi Pro Canselor USAS.

Perisytiharan penganugerahan akan dibuat oleh Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi merangkumi dua Ijazah Doktor Falsafah, 59 graduan Sarjana, Sarjana Muda (288) dan Diploma (943).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, seramai 757 graduan adalah lulusan Fakulti Pengajian Islam dan 536 orang daripada Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat.

Pada majlis itu nanti, graduan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling (kepujian), Muhammad Shukri Mohd Khalil akan menerima Anugerah Tuanku Canselor, manakala Muhammad Firdaus Abu Mansor yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling (kepujian) telah dinamakan sebagai penerima Anugerah YAB Menteri Besar Perak.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Hadis), Mohamad Isman Zakaria merupakan penerima Anugerah Naib Canselor USAS.