Sorok dadah RM1.115 juta dalam penyedut asap dapur

Antara dadah dan alat penyedut asap memasak yang dirampas.
Antara dadah dan alat penyedut asap memasak yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis membongkar sindiket dadah jenis methamphetamine bernilai RM1.115 juta yang disorok dalam penyedut asap memasak dengan tertangkapnya enam lelaki dalam 'Op Castor' di sebuah apartment di Pandan Perdana di sini, pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Sahar Latif berkata, enam lelaki berusia 18 hingga 31 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 10.40 malam.

"Kami menyerbu sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran di Pudu dan merampas enam kotak mengandungi alat penyedut asap masak berisi 30 bungkusan plastik dadah disyaki untuk dipasarkan ke luar Semenanjung Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, sebuah kenderaan jenis Honda Accord dan sebuah Perodua Myvi bernilai RM60,000 turut disita.

"Dengan tangkapan ini, kita berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi oleh warga tempatan yang disyaki aktif sebulan lalu di sekitar Lembah Klang," katanya.

Tambah Sahar, hasil ujian urin, hanya dua suspek didapati positif dadah jenis ketamin.

"Hasil semakan mendapati lima suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya lagi.

Menurutnya, kesemua suspek direman lima hari bermula Isnin hingga Jumaat bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan," katanya.