Penyelidikan berterusan ke atas Covid-19 bantu kekang pandemik

Noor Hisham
Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Penyelidikan berterusan ke atas Covid-19 membantu pihak berkuasa memahami dengan lebih baik penyakit itu bagi meningkatkan penjagaan klinikal dan langkah-langkah kesihatan awam dalam mengekang pandemik tersebut dan kembali kepada norma, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Dalam usaha untuk kembali kepada norma kehidupan kita, penyelidikan memainkan peranan penting,” katanya pada Persidangan Kajian Klinikal Kebangsaan 2021 ke-14 (NCCR 2021) bertemakan Niche to Norm yang berlangsung secara maya pada Khamis.

Pada tempoh yang sama tahun lepas, beliau berkata, Malaysia merekodkan kira-kira 9,200 orang dijangkiti Covid-19 tetapi jumlah itu telah meningkat lebih daripada 100 kali ganda sehingga melebihi satu juta.

"Peperangan menentang Covid-19 akan diteruskan dan kita harus terus berwaspada,” kata Dr Noor Hisham.

Bagi membantu usaha Kementerian Kesihatan (KKM) menguruskan pandemik Covid-19, Institut Penyelidikan Klinikal bersama rakan penyelidik tempatan dan antarabangsa telah membangunkan sebuah penyelesaian kesihatan digital untuk memantau keselamatan pesakit Covid-19 yang dikuarantin di rumah, katanya.

Beliau berkata, Penyelesaian Digital Pemantauan Kuarantin Covid-19 di Rumah (CODIQ-MY) yang menggunakan Internet of Medical Things dan kecerdasan buatan (AI) menyediakan doktor maklumat masa nyata mengenai status kesihatan pesakit yang dikuarantin di rumah seterusnya membolehkan doktor menyediakan pelan rawatan yang pantas dan bersasar.

Beliau juga menegaskan bahawa penggunaan kesihatan digital juga sangat penting dalam memerangi Covid-19, misalnya penggunaan aplikasi MySejahtera bagi penilaian kesihatan jarak jauh, pengesanan kontak dan memudahkan proses vaksinasi. -Bersama

Artikel Berkaitan: