Kurang dua minit buat pengesahan calon Perdana Menteri

Jalaluddin, Salim
Jalaluddin, Salim
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen mengambil masa tidak lebih dua minit untuk membuat perakuan dan pengesahan surat akuan bersumpah (SD) mengenai calon Perdana Menteri yang disokong semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif berkata, perakuan dan pengesahan itu membabitkan sokongan kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.

Beliau berkata, perakuan yang dibuat ahli Parlimen itu juga adalah atas kerelaan dan keikhlasan hati.

“(Tuanku) mahu dapatkan keabsahan perkara itu ikhlas daripada kita, bukan paksa atau apa-apa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Seramai 114 ahli Parlimen dilaporkan dipanggil ke Istana Negara pada Khamis dikatakan mempunyai kaitan dengan majoriti yang telah memihak kepada Ismail Sabri untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Ahli Parlimen terlibat ialah daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, MCA, MIC, Pas dan beberapa parti lain serta ahli Parlimen Bebas.

Sementara itu, Salim berkata, terdapat satu lagi langkah iaitu di Dewan Rakyat selepas ini bagi menentukan keabsahan calon Perdana Menteri yang disokong oleh 114 ahli Parlimen tersebut.

“Kita bawa semula ke Parlimen meminta undi percaya untuk keabsahan semula (calon Perdana Menteri),” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menjangkakan Parlimen akan bersidang semula pada 6 September ini atau mungkin lebih awal daripada itu.

Salim dalam masa sama berpendapat, dengan jumlah 114 ahli Parlimen itu juga membolehkan Ismail Sabri mempunyai jumlah mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias ketika dihubungi Sinar Harian menyifatkan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong pada Khamis sebagai sulit.

Beliau enggan memberikan komen lebih lanjut kerana tidak mahu menimbulkan apa-apa polemik mengenai perjumpaan tersebut.

“Saya tidak nak timbul apa-apa polemik,” katanya ringkas.