X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 29 Januari 2022

Karpet masjid RM54,000 lebur ditenggelami banjir

Keadaan Masjid Tengku Menteri di Mukim Matang yang ditenggelami banjir.
A
A

TAIPING - Karpet Masjid Tengku Menteri yang baru diganti dengan kos hampir RM54,000 antara yang rosak dalam kejadian banjir membabitkan beberapa kawasan di Mukim Matang di sini pada Rabu.

Timbalan Pengerusi Masjid, Mohd Khiruddin Abdul Halim berkata, karpet yang diimport dari Turki itu dipasang kira-kira 10 bulan lalu lalu bagi menggantikan karpet lama yang telah usang.

Menurutnya, kos bagi karpet berkenaan dikumpul hasil sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM30,000 dan selebihnya melalui kutipan orang ramai.

"Memang kami agak ralatlah kerana belum pun sampai setahun digunakan, karpet yang baru dipasang sudah rosak.

"Sebenarnya memang kami berhasrat untuk membeli karpet yang mahal sedikit untuk kegunaan jangka masa panjang.

"Kami fikirkan banjir tidak akan berlaku bila kerajaan negeri membina rumah pam air berhampiran masjid ini, tetapi nampaknya banjir masih berlaku malah kali ini lebih teruk berbanding sebelumnya," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Mohd Khiruddin berkata, air mula naik mendadak di kawasan masjid itu sebaik mereka selesai menunaikan solat Isyak sehingga paras mencecah lebih satu meter.

Katanya, peralatan lain seperti pembesar suara dan barangan elektrik dapat diselamatkan kerana diletakkan di tempat yang tinggi.

"Kalau tengok keadaan sekarang, hampir separuh ketinggian bangunan masjid sudahpun ditenggelami air, mungkin kena tunggu satu atau dua hari lagi barulah air kembali surut.

"Selepas itu kita akan sama-sama gotong-royong bersihkan apa yang patut, harap karpet itu masih boleh digunakan selepas dibersihkan kelak," katanya.

Masjid yang dibina sejak 1886 itu boleh memuatkan 500 jemaah dalam satu-satu masa dan menjadi kegunaan kariah di tiga kampung serta taman-taman perumahan berhampiran.

Banjir yang melanda sejak jam 9 malam itu telah mengakibatkan 87 mangsa daripada 25 keluarga di tiga kampung iaitu Kampung Sungai Rentaka; Kampung Changkat Baru dan Kampung Jebong Kiri ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim Al Baraqah selepas kediaman masing-masing dinaiki air.

Seorang penduduk, Junaidah Sidek, 47, memberitahu, dia bersama enam ahli keluarga terpaksa meredah air banjir setinggi paras lutut untuk berpindah ke PPS dengan bantuan pasukan penyelamat sekitar jam 10 malam.

"Selalunya bila banjir air bertakung di luar rumah sahaja, cuma kali ini melimpah sampai ke dalam rumah. Mujurlah,klm kami sempat selamatkan dan alihkan barang-barang penting.

"Kami nekad untuk berpindah ke PPS untuk keselamatan," katanya.

Difahamkan, hujan lebat dan berterusan telah menyebabkan satu daripada ban di Sungai Larut pecah mengakibatkan limpahan air masuk sehingga ke kawasan penempatan penduduk.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!