Rektor kedua UIAM meninggal dunia

Abdul Hamid meninggal dunia di Riyadh, Arab Saudi pada usia 85 tahun.
Abdul Hamid meninggal dunia di Riyadh, Arab Saudi pada usia 85 tahun.
A
A
A

SHAH ALAM - Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kedua, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Hamid A Abu Sulayman meninggal dunia di Riyadh, Arab Saudi pada usia 85 tahun.

Allahyarham meninggal dunia pada Rabu akibat sakit tua.

Presiden UIAM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada UIAM.

Beliau berkata, ini kerana Allahyarham memberikan sepenuh jiwanya membangunkan dunia akademia dan membangunkan UIAM dalam acuannya sehingga universiti itu menempa nama di peringkat antarabangsa.

“Allahyarham adalah seorang pemimpin berkaliber. Beliau dianggap sebagai seorang bapa, pemikir, sarjana dan seorang yang suka bekerja dalam satu pasukan di dalam organisasi. Allahyarham juga mudah didekati dan banyak memberikan nasihat.

"Bagi pihak UIAM juga, saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bagi Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, pemergian Allahyarham adalah sesuatu yang amat menyedihkan dan bagi warga UIAM serta alumninya juga turut bersedih kerana kehilangan seorang pemimpin dan guru yang sangat berdedikasi dalam menjalankan urusan pentadbiran dan dalam bidang akademik dan kesarjanaan.

“Kami seluruh warga UIAM merasa amat sedih dengan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, semestinya pemergian Allahyarham banyak memberikan kesan kepada Alumni, kakitangan dan pelajar UIAM.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang kepimpinan beliau, Allahyarham banyak meninggalkan legasi kepimpinan dan kini ia diteruskan," kata beliau.

Allahyarham dilahirkan di Makkah, Arab Saudi pada tahun 1936. Allahyarham juga dilantik menjadi Rektor UIAM kedua dari tahun 1988 sehingga 1998.

Pada 2008, Allahyarham dianugerahkan Doktor Falsafah Kehormat dalam Pendidikan dari UIAM.

Sepanjang tempoh sedekad Allahyarham menjadi Rektor UIAM, beliau banyak terlibat dalam pembangunan akademik dan perkembangan kampus serta menjalinkan kerjasama dengan universiti-universiti terkemuka di dunia.

Allahyarham banyak menghasilkan jurnal-jurnal dan penerbitan buku ilmiah.