Tubuh MPN untuk selesai masalah rakyat, negara

Akif Rusli
Akif Rusli
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mewujudkan model dan struktur Majlis Pemulihan Negara (MPN) sebagaimana yang diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam membantu menyelesaikan permasalahan rakyat dan negara.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muda, Akif Rusli berkata, penubuhan MPN juga adalah langkah terbaik tatkala negara berdepan pandemik Covid-19.

Menurutnya, kelemahan kerajaan sebagaimana laporan media antarabangsa, Reuters pada Khamis perlu dinilai dan dipertimbangkan pihak yang mentadbir sebelum ini.

"Kita tidak boleh sekadar mengambil bahagian yang baik bagi pihak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sahaja.

"Laporan ini menunjukkan bahawa tempoh pentadbiran Kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tempoh pentadbiran yang bermasalah dengan ketidaktentuan politik, ketidakstabilan ekonomi dan peningkatan kes pandemik Covid-19.

"Perlu diingat bahawa pentadbiran terdahulu juga dianggotai oleh barisan pimpinan UMNO yang turut sama terlibat dan gagal menangani permasalahan negara dengan baik. Malah, lebih 50 peratus anggota Jemaah Menteri yang bersaiz gergasi dianggotai oleh parti komponen yang serupa (PN-Barisan Nasional-Pas)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas Akif, lebih membimbangkan apabila desas-desus berkenaan kembalinya UMNO untuk mentadbir kerajaan kian memuncak dengan perkiraan sokongan yang dilihat menyebelahi pentadbiran sama, namun pimpinan yang berbeza.

"Semoga apa yang berlaku adalah demi kesejahteraan rakyat dan negara dan bukan lagi demi kepentingan laba politik seperti pentadbiran terdahulu.

Artikel Berkaitan:

"Pengurusan permasalahan rakyat dan negara jauh lebih penting berbanding kedudukan politik kepartian," jelasnya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang sebelum ini mencadangkan penubuhan MPN yang mana ia mengikut kerangka Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan akan berfungsi sehingga negara benar-benar selamat dan bebas daripada wabak Covid-19.