Waris rider maut kemalangan terima faedah Perkeso

Mat Nazir (tengah) dan isterinya, Norlis (kanan) bersama Azhar (kiri) melihat kerosakan pada motosikal ditunggangi Allahyarham
Mat Nazir (tengah) dan isterinya, Norlis (kanan) bersama Azhar (kiri) melihat kerosakan pada motosikal ditunggangi Allahyarham
A
A
A

KLANG - Waris kepada penghantar makanan GrabFood yang maut dalam kemalangan di Shah Alam, pada 11 Ogos lalu menerima bayaran faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Bayaran faedah dari Perkeso itu disalurkan kerana Allahyarham Muhammad Nazirul Mubin Mat Nazir, 21, adalah Orang Berinsuran (OB) dengan pertubuhan berkenaan.

Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri Perkeso, Azhar Md Nadzri berkata, hasil semakan, waris kepada Allahyarham Muhammad Nazirul menerima dua jenis faedah daripada Perkeso.

Menurutnya, bayaran faedah itu adalah Faedah Pencen Penakat dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) yang akan dibayar kepada bapa Allahyarham iaitu Mat Nazir Abu Hassan, 52.

"Waris juga akan menerima RM2,000 bagi bantuan Faedah Pengurusan mayat (FPM)," katanya selepas menyampaikan bantuan kepada waris mangsa terbabit di Kampung Baru 2 di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Komunikasi, Izad Raya, Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi, Ismail Abi Hashim dan Pengurus Pejabat Perkeso Klang, Mohanadas Veraya.

Pada 11 Ogos lalu, Muhammad Nazirul yang dipercayai dalam perjalanan menghantar makanan maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah lori dalam kejadian di Shah Alam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera teruk di bahagian dada dan abdomennya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Azhar berkata, semasa hayatnya, Allahyarham bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang sepenuh masa dan penghantar makanan secara separuh masa.

Menurutnya, anak keempat dari tujuh beradik itu melakukan dua pekerjaan bagi menambah pendapatan untuk menanggung kedua ibu bapa dan adik-beradiknya yang masih belajar.

"Selain mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) melalui pekerjaan sepenuh masanya, Allahyarham turut mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso menerusi program SPS Lindung.

"Allahyarham dibantu platform penyedia perkhidmatannya, GrabFood untuk mendaftar dengan SPS Lindung sejak 1 Julai lalu sekali gus memenuhi syarat kelayakan dan membolehkan warisnya menerima bantuan faedah di bawah kedua-dua skim ini," katanya.

Beliau menambah, SPS Lindung merupakan bantuan kerajaan di bawah Belanjawan 2021 berbentuk pembiayaan penuh 100 peratus Pelan Caruman Kedua SKSPS Perkeso iaitu sebanyak RM232.80.

Bantuan faedah itu diserahkan kepada ibu dan bapa Allahyarham iaitu Mat Nazir yang bekerja sebagai seorang tukang cuci dan ibunya, Norlis Husin, 48, seorang suri rumah sepenuh masa.

Tiga adik Allahyarham yang masih bersekolah ialah Nurnadiah, 18; Nurnasuha, 12, dan Asma Abdullah, 10.

Sementara itu, Mat Nazir berkata, dia sekeluarga berterima kasih kepada pihak Perkeso atas faedah diberikan yang tentunya dapat membantu adik-adik Allahyarham sekali gus kehidupan keluarga itu.