Perkhidmatan E2E sektor awam capai hampir 60 peratus: KSN

Mohd Zuki Ali. Foto Bernama
Mohd Zuki Ali. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perkhidmatan dalam talian sepenuhnya sektor awam atau End-to-End (E2E) kini pada tahap 57.02 peratus dan di landasan tepat untuk mencapai sasaran 80 peratus perkhidmatan kerajaan secara dalam talian bermula dari peringkat awal ke akhir menjelang 2025, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata, perkhidmatan E2E itu menambah baik dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Ia mudah, cepat dan selesa serta tiada had masa,” katanya ketika merasmikan Persidangan Digital Sektor Awam 2021 dan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025 secara maya pada Khamis.

Menekankan perkhidmatan E2E sebagai salah satu objektif pendigitalan serta agenda nasional kerajaan, Mohd Zuki mengingatkan mengenai prinsip F.A.S.T.E.R iaitu Flatter, Agile, Streamlined, Techenabled, Efficient dan Resilient sebagai panduan bagi penjawat awam untuk sentiasa adaptif serta sensitif dengan kehendak semasa khususnya perkembangan teknologi digital.

Memandangkan usaha pendigitalan amat kritikal, beliau berkata elemen techenabled yang terkandung dalam prinsip F.A.S.T.E.R itu adalah tepat dengan cabaran digital seperti teknologi baharu muncul, Analitik Data dan Revolusi Industri 4.0.

Beliau memetik majalah Science Direct Research Policy yang mendefinisikan teknologi baharu muncul dengan lima ciri iaitu pembaharuan radikal, pertumbuhan yang cepat, koheren, kesan yang menonjol dan ketidakpastian ataupun kesamaran.

“Apa yang penting, teknologi baharu muncul ini akan mengubah ‘status quo’, dan kita (penjawat awam) perlu memanfaatkan teknologi ini supaya tidak ketinggalan,” katanya.

Mohd Zuki berkata, kerajaan juga menetapkan agenda baharu iaitu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan berpandukan analitik data dengan mengoptimumkan penggunaan dan perkongsian data melalui penciptaan produk data berpaksikan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Analitik data adalah suatu proses menganalisis data mentah bagi mengenal pasti sesuatu trend daripada sekumpulan data yang besar yang boleh membantu kerajaan membuat keputusan bijak dan tepat,” katanya yang juga mahu penjawat awam mendepani senario, cabaran semasa dan trend global dengan mengubah cara penyampaian perkhidmatan bagi memastikan perkhidmatan awam terus diyakini serta dihormati rakyat.

Mengenai situasi perkembangan pentadbiran negara terkini, beliau berkata ia meletakkan tugas perkhidmatan awam pada tahap kritikal dan penjawat awam perlu terus melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan segala perancangan dan dasar yang telah dibuat dapat dilaksanakan secara efisien serta pantas.

“Pada masa kini, kita (penjawat awam) bukan sahaja berdepan dengan cabaran menguruskan pandemik Covid-19 yang memerlukan usaha kolektif untuk mengatasinya, bahkan isu-isu rantaian juga memerlukan penyelesaian secara strategik daripada semua pihak,” katanya. -Bernama