Perak serah hak milik tanah penduduk secara maya

Saarani (tengah) bersama Ahmad Suaidi (kiri) dan Zulazlan menyaksikan majlis penyerahan hak milik tanah dan Notis 5A kepada wakil penduduk secara maya di sini pada Khamis.
Saarani (tengah) bersama Ahmad Suaidi (kiri) dan Zulazlan menyaksikan majlis penyerahan hak milik tanah dan Notis 5A kepada wakil penduduk secara maya di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Seramai 2,512 individu di Perak menarik nafas lega apabila menerima hak milik dan Notis 5A melibatkan 26 Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan 12 Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB).

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu seramai 2,029 penerima bagi RPT dan 483 lagi penerima RPB yang dilaksanakan di setiap daerah.

Menurutnya, kerajaan negeri memutuskan untuk melaksanakan majlis penyerahan tersebut secara maya selepas banyak program penyampaian terpaksa ditangguhkan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan pandemik Covid-19.

"Kerajaan negeri mendengar pandangan dan maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk pihak pejabat daerah dan wakil-wakil rakyat supaya penyerahan hak milik dan notis 5A ini dapat disegerakan demi manfaat penerima.

"Saya dan rakan-rakan dalam kerajaan juga memahami sebahagian penerima sudah menunggu begitu lama untuk mendapatkan hak milik sama ada bagi pemilikan tanah kediaman atau mengusahakan tanah pertanian," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan hak milik dan Notis 5A secara maya di sini, pada Khamis.

Hadir sama pada sesi tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Zulazlan Abu Hassan.

Saarani dalam pada itu berharap penyerahan hak milik tersebut bukan sahaja memberi kelegaan kepada penerima, tetapi dimanfaatkan sebaik mungkin.

Menurut beliau, bagi mereka yang mengusahakan RPB juga diharap mampu untuk menjana pendapatan mereka dalam menghadapi suasana sukar susulan pandemik Covid-19 ketika ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita harap rakyat yang menerimanya akan dapat menunaikan tanggungjawab iaitu untuk membayar premium seperti mana yang dinyatakan dalam borang 5A dan juga menjelaskan cukai tanah seperti mana kewajipan biasa.

"Jadi ini bermakna rakyat mendapat manfaat dan kerajaan negeri mendapat manfaat. Sudah tentu premium dan cukai tanah kita pungut itu digunakan semula untuk menjana pendapatan dan membangunkan negeri Perak ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menambah baik dan membuat pengubahsuaian dalam sistem penyampaian kerajaan bagi memastikan Covid-19 tidak menjadi halangan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Pada majlis yang diadakan menggunakan aplikasi Zoom itu, semua pegawai daerah terlibat dengan menyerahkan pemberian hak milik dan Notis 5A kepada wakil penduduk sambil disaksikan Saarani.