Dakwaan air Empangan Bukit Merah melimpah tidak benar

Razman (kanan) menunjukkan antara buah-buahan tempatan yang diagihkan kepada penduduk di PKPD Kampung Menteri, Kuala Sepetang.
Razman (kanan) menunjukkan antara buah-buahan tempatan yang diagihkan kepada penduduk di PKPD Kampung Menteri, Kuala Sepetang.
A
A
A

TAIPING - Tiada limpahan air berlaku dari Empangan Bukit Merah sepertimana didakwa dalam video tular sejak Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Selanggol, Razman Zakaria berkata, setakat ini paras empangan masih dalam keadaan terkawal walaupun berlaku hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, mengikut rekod, bacaan paras empangan berada pada keadaan normal iaitu 8.69 meter masih jauh daripada paras bahaya yang ditetapkan iaitu 9.14 meter.

"Tiada kejadian seperti itu, daripada maklumat kita peroleh keadaan air bertakung di laluan itu hanyalah disebabkan masalah perparitan.

"Hujan terlalu lebat, jadi aliran air melimpah dari parit berhampiran," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan buah-buahan tempatan ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Menteri, Kuala Sepetang di sini pada Khamis.

Razman (kiri) bersama bungkusan buah-buahan tempatan yang akan diagihkan kepada penduduk di PKPD Kampung Menteri, Kuala Sepetang.
Razman (kiri) bersama bungkusan buah-buahan tempatan yang akan diagihkan kepada penduduk di PKPD Kampung Menteri, Kuala Sepetang.

Dalam video berdurasi 11 saat yang tular itu menunjukkan laluan utama bersebelahan Empangan Bukit Merah ditenggelami air.

Keadaan itu dirakam seorang pengguna jalan raya dan didakwa berlaku disebabkan limpahan air dari empangan berkenaan akibat hujan lebat sejak kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Razman yang juga Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak berkata, agihan buah-buahan itu adalah kesinambungan program sosial korporat (CSR) Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Kali ini kita agihkan limau bali, jagung dan rockmelon kepada 300 keluarga yang terlibat dalam kawasan PKPD ini," katanya.

PKPD Kampung Menteri, Kuala Sepetang dikenakan selama dua minggu bermula 6 Ogos lalu sehingga 19 Ogos berikutan peningkatan kes Covid-19.