X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Bicara 1MDB: Hakim arah Najib hadir selepas menghadap Agong

Najib
A
A

KUALA LUMPUR - Hakim yang mendengar kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak kelihatan tidak gembira, apabila bekas perdana menteri itu tidak hadir pada prosiding kes hari ini dan mengarahkan Najib hadir ke mahkamah pada pukul 2.30 petang.

Terdahulu, peguam Najib, Rahmat Hazlan memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya, bersama-sama dengan 114 ahli Parlimen Barisan Nasional dijadualkan bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menyuarakan sokongan kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk jawatan perdana menteri.

"Kami tidak pasti pukul berapa anak guam saya dijadualkan menghadap Agong, tetapi beliau bertolak dari Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada jam 10.30 pagi. Saya diberitahu bahawa beliau kini sedang dalam mesyuarat di sana dan akan dipanggil menghadap pada bila-bila masa kerana sesi temu duga itu berlangsung seorang demi seorang,” kata Rahmat.

Setelah mendengar penjelasan itu, hakim Sequerah yang kelihatan agak marah apabila mendapat tahu mengenai ketidakhadiran Najib menegaskan agar perbicaraan kes itu tetap diteruskan.

"Beliau (Najib) sepatutnya hadir ke sini terlebih dahulu. Mengikut laporan berita yang saya baca, pertemuan dengan Agong itu akan berlangsung secara berperingkat-peringkat.

"Prosiding sedang berjalan. Saya akan kembali dalam tempoh 10 minit dan saya ingin tahu secara tepat pukul berapa beliau akan menghadap Agong. Setelah selesai, beliau perlu kembali ke sini agar prosiding dapat diteruskan. Saya mungkin tidak akan berhenti (perbicaraan) pada pukul 4 petang hari ini (Khamis), " kata hakim Sequerah.

Setelah berehat seketika, Rahmat sekali lagi memberitahu mahkamah bahawa beliau akan mengemas kini mengenai keberadaan Najib setelah memperoleh maklumat terkini daripada pegawai-pegawai bekas perdana menteri itu.

Sebagai respons kepada perkara itu, hakim Sequerah menegur bahawa Najib perlu memberikan komitmen hadir pada waktu tertentu kerana prosiding perlu diteruskan pada pukul 2.30 petang.

"Tolong beritahu saya kerana saya tetap akan meneruskan perbicaraan, tidak kira apa yang terjadi. Maka bersedia untuk perbicaraan yang panjang, kerana kita telah membazikan banyak (masa).

"Kita semua mempunyai tugas untuk dilaksanakan, jika Agong titah beliau untuk menghadap, dan beliau perlu berada di sana, namun daripada apa yang saya fahami, beliau tidak perlu berada di sana sepanjang hari. Saya memerlukan penjelasan pukul berapa beliau dapat hadir, tempoh beliau perlu berada di sana (di Istana) dan ditemu memberikan pandangannya kepada Baginda dan kembali ke sini (untuk perbicaraan),” kata hakim.

AKAN MENYUSUL


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!