MAFI bantu golongan muda rancakkan industri pertanian

Program Empowerment @Agroprenuer Muda 2021 yang dijalankan secara maya.
Program Empowerment @Agroprenuer Muda 2021 yang dijalankan secara maya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) membuka permohonan Geran Agropreneur Muda mulai Khamis bagi menggalakkan lebih ramai golongan muda menceburi bidang tersebut.

Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, permohonan itu terbuka kepada golongan muda yang betul-betul baharu atau belum pernah menjalankan projek pertanian.

Menurut beliau, ia tertakluk kepada syarat-syarat yang akan dikemukakan nanti antaranya perlu menghadiri kursus-kursus teknikal yang ditetapkan dan sebagainya.

"Kementerian mendapat banyak permintaan daripada golongan itu yang baharu ingin menceburi bidang pertanian dan agromakanan.

"Saya berharap dengan kaedah ini, lebih ramai anak-anak muda terutama mereka yang betul-betul berminat dan memenuhi syarat dapat dibantu," katanya dalam ucapan perasmian program Empowerment @Agroprenuer Muda 2021 yang dijalankan secara maya pada Khamis.

Haslina berkata, geran Agropreneur Muda menjadi satu pilihan penting bagi membantu anak-anak muda memulakan projek pertanian terutamanya ketika negara dan dunia dilanda pandemik Covid-19.

"Pada tahun ini, sebanyak RM15 juta telah diperuntukkan dengan sasaran 750 orang agropreneur muda untuk mendapat bantuan.

"Sehingga Julai lalu seramai 498 orang telah diluluskan permohonannya oleh MAFI dengan jumlah peruntukan sebanyak RM9.9 juta.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah tersebut, ianya dijangka dapat menyumbangkan RM29.8 juta kepada negara melalui 'economic spin-off'," katanya.

Tambah beliau, jangkaan tersebut berdasarkan sasaran kementerian untuk melahirkan agropreneur muda berpendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan selepas menerima bantuan geran itu.

Dalam masa yang sama, katanya, MAFI menjangkakan agropreneur muda ini dapat membantu ekonomi setempat melalui konsep 'community-driven economy'.

"Saya mengambil contoh, seorang penanam cili yang menerima bantuan geran sudah tentu akan menggaji pekerja bagi membantunya untuk meningkatkan pengeluaran hasil ladang.

"Begitu juga dengan seorang usahawan bakeri, sudah pasti akan menggaji pekerja untuk meningkatkan pengeluaran kek atau pastri.

"Ini bermaksud peluang-peluang pekerjaan juga akan dicipta melalui perniagaan yang dijalankan oleh mereka," katanya.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, kesan 'economic multiplier' juga pasti berlaku kerana penerima geran pastinya memerlukan bekalan input-input pertanian dan bahan mentah serta penambahbaikan infrastruktur.

"Sudah tentu, faktor permintaan ekonomi ini akan membantu sektor-sektor pembekalan yang lain," katanya.

Katanya, kementerian menjangkakan kesan penggandaan bernilai RM89.4 juta melalui bantuan geran yang diberikan.