Gerakkan bantuan segera kepada mangsa banjir: Muhyiddin

Kepala air yang deras jelas kelihatan dari puncak Gunung Jerai sehingga merosakkan penempatan dan persekitaran. Gambar kecil: Muhyiddin Yassin
Kepala air yang deras jelas kelihatan dari puncak Gunung Jerai sehingga merosakkan penempatan dan persekitaran. Gambar kecil: Muhyiddin Yassin
A
A
A

ALOR SETAR - Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap kerajaan negeri Kedah serta agensi berkaitan dapat menggerakkan segera semua bentuk bantuan bagi membantu penduduk terjejas akibat banjir kilat di Yan.

Beliau berkata, keselamatan penduduk di kampung-kampung terlibat bencana serta bekalan makanan perlu menjadi keutamaan ketika ini.

“Saya mengikuti secara dekat bencana banjir kilat yang melanda beberapa kampung di daerah Yan, dipercayai kesan daripada fenomena kepala air yang bermula di Gunung Jerai.

Petugas keselamatan serta kecemasan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah melakukan operasi menyelamat dan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan bencana, terjamin,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau pada Rabu malam.

Muhyiddin turut mendoakan agar tugas pasukan keselamatan dipermudahkan dalam misi mencari dan menyelamat penduduk terlibat.

“Semoga tugas-tugas pasukan keselamatan dipermudah, penduduk yang terjejas serta terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara disediakan bantuan dan perlindungan sewajarnya, agar mereka selamat dan keadaan teratur terutamanya ketika dalam situasi pandemik Covid-19,” katanya.

Pada Rabu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan kerajaan negeri telah menggerakkan semua agensi dan jabatan bagi membantu mangsa terkesan akibat bencana yang berlaku sekitar jam 5.30 petang Rabu.

Menurutnya, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Yan akan menguruskan tindakan lanjut untuk membantu penduduk terkesan dan menyediakan laporan lengkap berkaitan bencana terbabit.

Artikel Berkaitan:

Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan menghantar bekalan air ke kawasan terputus bekalan ekoran penutupan loji rawatan air di kawasan itu akibat kelodak dan lumpur.

Setakat ini, tiga individu maut dan tiga lagi masih hilang selepas terperangkap dalam kejadian kepala air di puncak Gunung Jerai tersebut.

Lebih 10 kampung di kaki Gunung Jerai dan taman perumahan di bandar Yan serta Gurun dilanda banjir kilat akibat fenomena kepala air yang berlaku menyebabkan kawasan berkenaan mengalami kerosakan teruk.