Faktor Tun M, Melayu, media kencang di Semenyih

A
A

KITA akan sama-sama ikuti perkembangan PRK DUN Semenyih Sabtu ini. Ini adalah PRK kelima selepas PRU14 iaitu Seri Setia, Sungai Kandis, Balakong dan Cameron Highlands.

Setakat PRK-PRK yang berlangsung, PH menang tiga PRK dan BN pula menang Parlimen Cameron Highlands. Bagaimana pun kesemua PRK yang berlangsung ini dimenangi oleh parti yang menyandang.

Tetapi PRK Semenyih ini punyai perbezaan kerana pelbagai kemungkinan. Jika PRK sebelum ini memenangkan penyandang, PRK Semenyih ini menunjukkan BN lebih popular. BN dikatakan boleh menang.

Maknanya, buat pertama kali selepas PRU14, parti penyandang akan tewas di dalam PRK; menjadikan kedudukannya 3-2, iaitu PH memenangi tiga dan BN pula dua. Ini juga bermakna, setelah berjaya mempertahankan ketiga-tiga kerusinya di Selangor, PH akan kehilangan sebuah kerusi dalam PRK Semenyih.

Ada banyak faktor mengubah pola ini. Di antaranya ialah penguasaan media. Kita lihat pada kali ini BN pula yang lebih jelas menyerang dan PH pula bertahan. Yang menyerang itu lazimnya dilihat lebih hebat.

Dan, orang suka berpihak kepada yang hebat. BN yang kelihatan agresif kali ini berjaya menarik sokongan di lapangan. Di media sosial khususnya di Facebook, kita nampak bagaimana warganet secara ribuan menyokong kritik-kritik yang dibawa BN. Apakah gambaran di media sosial boleh digunakan untuk membaca trend pengundi? Iya. Tatkala PRU14 dahulu, trend pengundi dibaca melalui respon warganet di media sosial.

Permainan angka yang digunakan untuk mengkritik memang mencederakan imej PH. Pengurusan aset yang dekat di hati orang Melayu seperti Tabung Haji, Petronas, Felda dan Felcra ditafsir sebagai penghapusan aset bumiputera secara terancang. Persepsi ini belum sempat dijawab dengan jelas oleh pemerintah dan ini menimbulkan kerisauan di hati orang Melayu.

Kos sara hidup juga adalah faktor yang membuatkan pengundi berasa mereka dipinggirkan. Jika BN dahulu dikenali sebagai Barang Naik, PH pula dipadankan sebagai (maaf cakap) Pakatan Hancing. Setakat ini PH belum lagi menggunakan istilah atau tagline yang kontra untuk menghakis atau neutralise persepsi ini.

Oleh kerana pemimpin BN sudah tiada kerja rasmi, mereka boleh berkampung di Semenyih. Pemimpin PH yang kini sibuk mengurus negara mengalami kesuntukan masa untuk bersama pengundi, sedangkan pengundi dalam PRK akan lebih seronok melihat kehadiran pemimpin secara live bersama mereka.

Persepsi bahawa Tun M sudah tidak berkesan lagi sebagai pemimpin Melayu berjaya mempengaruhi pengundi. Jangan lupa, di antara faktor kemenangan PH dalam PRU-14 ialah kerana faktor Tun M.

Apabila pengundi punyai persepsi bahawa Tun M tidak berkuasa penuh terhadap PH, mereka mula kurang yakin kepada PH. Isu yang dimainkan oleh pembangkang ialah, PH kini dikuasai oleh Dap. Orang Melayu pula tidak selesa bila berasakan bahawa Dap menguasai pemerintahan negara.

Persefahaman Pas-Umno yang kian menyerlah membuatkan orang Melayu berasa lega. Kedua-dua parti ini berdiri kerana semangat. Dan semangat adalah santapan jiwa yang paling berkesan pada orang Melayu.

Pas membawa semangat Islam, sementara Umno membawa semangat Melayu. Gabungan kedua-dua semangat ini begitu ampuh dan sukar tergugat. Ia tidak setanding PH yang punyai Bersatu dan Amanah. Orang Melayu belum menerima Bersatu punyai semangat Melayu seteguh UMNO atau Amanah yang punyai semangat Islam sekental Pas. Bersatu dan Amanah belum lagi diyakini mewakili orang Melayu dan Islam.

Betapa pun, undi masih rahsia. Strategi masing-masing masih belum kita tahu tajam atau tumpulnya melainkan dengan keputusan malam 2 Mac nanti. Meskipun kelihatan popular, kita tidak tahu apakah yang hadir setiap ceramah itu pengundi ataupun orang luar. Seandainya yang hadir itu pengundi, apakah mereka akan keluar mengundi Sabtu ini?

Pihak mana yang menang akan membawa kesan. Kemenangan PH di Semenyih menunjukkan ia masih diterima rakyat di sebalik hiruk-pikuk anti-PH. Sebaliknya jika BN menang, ia adalah kemenangan moral selepas memenangi Parlimen Cameron Highlands.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia