Pusat Pakaian Hari-Hari kembali beroperasi

Kakitangan Pusat Pakaian Hari-Hari di Ole-Ole Seksyen 18, Shah Alam sedang mengemas pakaian dan memastikan kedudukannya teratur bagi kemudahan pelanggan. Gambar kecil: Amilludin dan Hayati.
Kakitangan Pusat Pakaian Hari-Hari di Ole-Ole Seksyen 18, Shah Alam sedang mengemas pakaian dan memastikan kedudukannya teratur bagi kemudahan pelanggan. Gambar kecil: Amilludin dan Hayati.
A
A
A

SHAH ALAM - Setelah tiga bulan tidak dapat beroperasi secara fizikal, rangkaian Pusat Pakaian Hari-Hari khususnya di sekitar Lembah Klang kini mula dibuka semula kepada orang ramai bermula Isnin.

Pembukaan semula rangkaian premis terlibat adalah susulan beberapa kelonggaran diumumkan kerajaan sebelum ini menerusi Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengarah Pusat Pakaian Hari-Hari, Amilludin Latip berkata, pihak pengurusan syarikat sememangnya amat bersyukur dengan kelonggaran diumumkan kerajaan itu bagi membolehkan setiap rangkaian cawangan mereka dapat dibuka semula.

“Alhamdulillah, sejak dibuka semula, pelanggan setia kami mula hadir ke cawangan Pusat Pakaian Hari-Hari bagi membeli barangan masing-masing. Ini adalah satu permulaan yang baik,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di cawangan Pusat Pakaian Hari-Hari di Ole-Ole Seksyen 18 di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut mengenai operasi di rangkaian mereka, Amilludin berkata, pihaknya amat menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan kakitangan dan pengunjung di Pusat Pakaian Hari-Hari bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, dalam menjaga kebajikan para pekerja, pihak pengurusan turut mengeluarkan kos sendiri bagi memastikan setiap kakitangan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Jumlah pelanggan di Pusat Pakaian Hari-Hari turut dikawal mengikut keluasan premis bagi menggelakkan penularan wabak Covid-19.
Jumlah pelanggan di Pusat Pakaian Hari-Hari turut dikawal mengikut keluasan premis bagi menggelakkan penularan wabak Covid-19.

“Kami mahu menjaga keselamatan kesihatan pekerja dan kakitangan, maka disebabkan itulah inisiatif ini dilakukan supaya mereka terhindar daripada risiko jangkitan.

“Malah, kami juga memastikan hampir 1,000 kakitangan Pusat Pakaian Hari-Hari akan dapat melengkapkan dua dos vaksin selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Amilludin berkata, ketika tidak dibenarkan beroperasi selama tiga bulan sebelum ini, pihak pengurusan berdepan beberapa cabaran khususnya memastikan kebajikan setiap pekerja mereka terjamin.

Bagaimanapun, katanya, inisiatif segera yang dilakukan pihak pengurusan dengan melakukan tranformasi digital dalam perniagaan membantu menyelamatkan operasi syarikat.

“Walaupun kami tidak dapat beroperasi secara fizikal, kami telah menukar model perniagaan lalu beralih ke platform dalam talian dan hasilnya amat memberangsangkan.

“Sambutan pelanggan setia kami amat baik, malah kita juga turut mengajar kakitangan untuk membuat pemasaran secara digital,” jelas beliau.

Tambah Amilludin, pihaknya berharap dengan pengoperasian semula beberapa sektor selepas ini, keadaan ekonomi negara akan dapat kembali pulih seperti sedia kala.

“Kepada pelanggan di luar, jangan khuatir untuk kunjungi premis kami kerana pihak pengurusan amat menitikberatkan SOP seperti yang ditetapkan oleh kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Pusat Pakaian Hari-Hari Kawasan Shah Alam, Hayati Mohamed berkata, sejak beroperasi semula pada Isnin, jumlah pelanggan yang hadir ke premis mereka sekitar 30 peratus berbanding hari kebiasaan.

Hayati berkata, pihaknya menjangkakan jumlah itu meningkat selepas ini khususnya pada cuti hujung minggu.

“Kita baru memulakan operasi pada Isnin lalu dan amat mengejutkan apabila kebanyakan pelanggan yang hadir membuat pembelian dengan banyak.

“Ini mungkin disebabkan mereka sebelum ini tidak dapat membeli disebabkan oleh beberapa kekangan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hayati berkata, setiap pekerja juga diwajibkan untuk membuat imbasan suhu dan melakukan pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera pada setiap hari.

Katanya, pelanggan yang lengkap dua dos suntikan dan melepasi tempoh 14 hari sahaja dibenarkan untuk memasuki setiap rangkaian premis mereka yang beroperasi.

“Setiap hari, kita turut melakukan sanitasi di premis sebelum membuka operasi kepada orang ramai.

“Malah, kami juga akan memastikan kaunter dan tangga disanitasi sebanyak tiga kali sehari sebagai usaha untuk mengekang penularan Covid-19,” katanya.

INFO

-Pusat Pakaian Hari-Hari mempunyai sebanyak 87 cawangan seluruh Malaysia.

-Dari jumlah itu, 23 cawangan terletak di Selangor dan 13 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

-Mempunyai hampir 1,000 kakitangan terdiri daripada 95 peratus bumiputera