X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

Banjir: Tiga PPS dibuka di Pulau Pinang

A
A

GEORGE TOWN - Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Pulau Pinang bagi menempatkan mangsa banjir ekoran hujan lebat di negeri itu sejak tengah hari semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, dua PPS dibuka di kawasan Jawi di Nibong Tebal, membabitkan Dewan Jawatankuasa Kecil dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Kechil dan Sekolah Kebangsaan (SK) Jawi.

"PPS Dewan JKKK Sungai Kechil yang dibuka pada 1 pagi tadi menempatkan satu keluarga terdiri daripada sembilan orang termasuk tiga kanak-kanak manakala PPS SK Jawi pula dibuka pada 12 tengah malam dengan 11 orang daripada empat keluarga ditempatkan di situ," katanya yang dihubungi pada Khamis.

Menurut Phee, kawasan Jawi dilanda banjir pada kira-kira jam 10 malam tadi selepas hujan kembali lebat pada 7.30 malam dan lebih 10 buah rumah di kawasan itu dinaiki air hingga kira-kira 0.5 meter.

Sementara itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik ketika dihubungi memberitahu, sebuah PPS di Dewan Al Barakah, Masjid Maqbul, Teluk Kumbar dekat sini dibuka pada 11 malam tadi dan menempatkan tiga keluarga membabitkan 12 orang.

Jelas beliau, kebanyakan kawasan yang terjejas banjir di kawasan Parlimen Balik Pulau telah pulih namun terdapat beberapa lokasi seperti Kampung Jalan Baru dan Taman Manggis dinaiki air lewat malam tadi berikutan air pasang pada sebelah malam disusuli hujan lebat.

"Setakat ini banjir di kawasan Parlimen Balik Pulau semakin surut dan hanya tiga keluarga sahaja di tempatkan di PPS. Saya juga telah meminta bantuan Majlis Bandaraya Pulau Pinang untuk menolong membersihkan kawasan dan rumah mangsa banjir hari ini," katanya.

Muhammad Bakhtiar berkata, beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz turut menyediakan bantuan segera merangkumi makanan dan minuman kepada semua mangsa banjir semalam dan akan melihat keperluan lain yang diperlukan mereka hari ini.

Ketika ini cuaca di Pulau Pinang mendung dengan beberapa kawasan di tanah besar negeri itu hujan renyai-renyai.

Semalam hujan lebat lebih tiga jam telah menyebabkan ratusan rumah di Teluk Kumbar, Balik Pulau dan Teluk Bahang iaitu di dalam kawasan Parlimen Balik Pulau dilanda banjir menyebabkan kediaman mereka ditenggelami air hingga setengah meter.

Hujan lebat sejak 12.30 tengah hari itu turut menyebabkan beberapa jalan raya terutama di Pulau Betong, Balik Pulau tidak boleh dilalui kenderaan ringan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!