280 Jalur Gemilang diagih secara pandu lalu

Sebanyak 280 Jalur Gemilang diagihkan kepada warga Kg Gong Baru di Kuala Terengganu sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini.
Sebanyak 280 Jalur Gemilang diagihkan kepada warga Kg Gong Baru di Kuala Terengganu sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Prihatin dengan sambutan Hari Kebangsaan yang diraikan dalam tempoh pandemik Covid-19, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Gong Baru, di sini mengagihkan sebanyak 280 bendera kepada komuniti setempat secara pandu lalu pada Rabu.

Pengerusi KRT Gong Baru, Mohd Hanafiah Ismail berkata, agihan Jalur Gemilang itu merupakan kesinambungan daripada program kempen Kibar Jalur Gemilang yang diadakan di kampung berkenaan pada saban tahun sejak 2013.

"Sudah menjadi tradisi warga Gong Baru pada setiap tahun kami akan meraikan sambutan ulang tahun kemerdekaan bersama-sama.

"Sebelum pandemik Covid-19, banyak program kita dapat jalankan antaranya program melukis, mewarna, bacaan Yasin, solat hajat dan seumpamanya, namun sambutan dalam tempoh pandemik kali ini agak suram.

"Walaupun begitu, kempen Kibar Jalur Gemilang tetap diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Hanafiah berkata, pandemik Covid-19 bukan halangan untuk terus mempamerkan semangat cintakan tanah air agar semangat patriotik itu terus dapat diterap kepada generasi akan datang.

"Program Kibar Jalur Gemilang kali ini bertemakan satu kenderaan satu bendera dan sebuah rumah satu bendera dengan agihan bendera dijalankan bermula jam 5 hingga 6.30 petang di Rumah Komuniti Gong Baru.

"Sebanyak 100 bendera untuk kenderaan dan 80 bendera bagi kediaman di Gong Baru telah diagihkan. Baki sebanyak 100 bendera lagi akan diagihkan kepada semua warga kampung ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama bagi menyempurnakan agihan bendera sempena kempen Kibar Jalur Gemilang itu ialah Pegawai Perpaduan Daerah Kuala Terengganu, Asmawati Chik.