14 mangsa banjir positif Covid-19 ditempatkan di PPS SK Teroi

Fenomena kepala air mengakibatkan banjir kilat sekitar kaki gunung di Yan dan Merbok semalam. - Foto Bernama
Fenomena kepala air mengakibatkan banjir kilat sekitar kaki gunung di Yan dan Merbok semalam. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 14 individu positif Covid-19 ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi, Yan selepas kediaman mereka dinaiki air ekoran banjir dan fenomena kepala air yang berlaku petang semalam.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, selain itu, seramai 45 individu yang menjalani kuarantin di rumah turut dipindahkan ke PPS tersebut disebabkan bencana sama.

"Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Yan telah membuka pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Yan yang menempatkan 60 mangsa.

"Mangsa yang positif (14) dan kuarantin (45) akibat Covid-19 ditempatkan di SK Teroi. Kedua-dua penempatan dipantau rapi oleh semua agensi berdasarkan prosedur operasi standard yang sedia ada," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri telah menggerakkan semua agensi dan jabatan bagi membantu mangsa yang terkesan akibat bencana itu yang berlaku sekitar 5.30 petang semalam.

Muhammad Sanusi berkata, PKOB Yan akan menguruskan tindakan lanjut untuk membantu penduduk yang terkesan dan menyediakan laporan lengkap berkaitan bencana itu dengan segera.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berhampiran termasuk Majlis Daerah Pendang, Majlis Perbandaran Sungai Petani, Majlis Bandaraya Alor Setar dan Majlis Daerah Sik akan digerakkan membantu Majlis Daerah Yan membersihkan kawasan, pemindahan penduduk dan menyediakan keperluan logistik.

Katanya, Syarikat Air Darul Aman pula akan menghantar bekalan air ke kawasan yang terputus bekalan ekoran penutupan loji rawatan air di kawasan itu akibat kelodak dan lumpur.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Muhammad Sanusi berkata, bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga dijangka diperoleh bagi membantu penduduk yang terjejas.

Sementara itu, beliau berkata, sejak semalam pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat di semua lokasi yang dilaporkan terdapat mangsa yang terperangkap atau hilang dan setakat ini tiga mangsa dijumpai meninggal dunia.

Menurutnya, tiga lagi mangsa dipercayai masih hilang sehingga operasi ditangguhkan pada 1.05 pagi tadi dan operasi mencari ketiga-tiga mereka disambung semula 7 pagi ini.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan Kedah juga merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan yang masih hilang serta mendoakan mereka selamat.

"Kepada penduduk yang terjejas, diharap mengutamakan keselamatan diri dan keluarga. Penduduk yang diarahkan berpindah perlu berpindah ke pusat pemindahan," katanya. - Bernama