UPKO konsisten sokong Anwar sebagai PM

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KOTA KINABALU - Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menjelaskan pendirian parti itu yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri mewakili Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung UPKO, Nelson W Angang berkata, Presiden parti, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau telah menghantar surat akuan bersumpah (SD) ke Istana Negara pada Rabu.

"UPKO konsisten dengan keputusan menyokong Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi PH sebagai Perdana Menteri baharu Malaysia.

"Presiden kami, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran sudah menghantar SD kepada Istana Negara untuk mengesahkan sokongannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya membuat kenyataan berhubung sokongan parti pembangkang tempatan Sabah itu bagi menjelaskan pendirian UPKO sekiranya ada pihak mendakwa perkara sebaliknya.

Sebelum itu, UPKO tidak menamakan mana-mana ahli Parlimen sebagai calon Perdana Menteri selain turut berdiam diri mengenai hasrat Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri jika berjaya mendapat sokongan daripada ahli Parlimen termasuk dari Sarawak.

Bagaimanapun, Mohd Shafie dilaporkan gagal mendapatkan sokongan yang diharapkan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum menyatakan pendirian turut menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri mewakili blok pembangkang.

Artikel Berkaitan: