Covid-19: Saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kes di Sabah

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian di Sabah, dengan 1,410 kes atau 58.4 peratus daripada keseluruhan 2,413 kes yang direkodkan di negeri itu pada Rabu, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Masidi yang juga jurucakap rasmi Covid-19 Sabah berkata, saringan bergejala pula merekodkan 538 kes atau 12.3 peratus dan daripada saringan kluster sedia ada pula mencatatkan 233 atau 9.6 peratus.

Beliau berkata, 1,363 pesakit atau 56.5 peratus daripada kes pada Rabu merupakan pesakit kategori dua, 1,026 orang atau 42.5 peratus kategori satu, kategori tiga (11), kategori empat (3) dan selebihnya kategori lima.

“Kes baharu di Sabah terus melonjak ke paras yang amat tinggi iaitu 2,413 kes, berbanding 2,103 kes semalam,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Masidi berkata, satu kluster baharu direkodkan iaitu Kluster Sungai Pin, Kinabatangan melibatkan kluster tempat kerja sebanyak 20 kes jangkitan.

“Kes indeks merupakan pekerja wanita berusia 52 tahun, warganegara Indonesia di sebuah ladang sawit berdekatan Sungai Pin, daerah Kinabatangan.

“Setelah bergejala sejak 10 Ogos 2021, kes indeks disahkan positif Covid-19 (RTK-Ag) di Klinik Kesihatan Batu Putih, Kinabatangan dan telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan selanjutnya,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: