Pemandu van maut, tiga kakitangan KKM cedera ketika ambil bekalan vaksin

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas van KKM terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 9.7 Lebuhraya Utara Selatan, Johor Bahru pada Rabu.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas van KKM terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 9.7 Lebuhraya Utara Selatan, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu van kesihatan maut, manakala tiga lagi kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) cedera selepas van yang dinaiki terlibat dengan kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 9.7 Lebuhraya Utara Selatan (Arah Selatan) di sini tengah hari Rabu.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu ketika dihubungi Bernama, mengesahkan insiden itu dan memaklumkan van terbabit dalam perjalanan mengambil bekalan vaksin di Hospital Permai untuk dibawa ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang.

Ketika kejadian, bekalan vaksin belum ada di dalam van kesihatan itu.

Beliau berkata, mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid pula berkata, dalam kejadian pada kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, selain pemandu yang disahkan meninggal dunia, tiga lagi yang terlibat ialah pegawai farmasi dan dua jururawat yang menaiki van kesihatan dari PKD Kluang menghala ke Hospital Permai.

ARTIKEL BERKAITAN: Kakitangan KKM maut nahas, tiga lagi cedera

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu van, ketika tiba di lokasi kejadian iaitu di lorong kanan, telah mengelak sebuah kereta yang membrek secara mengejut sebelum merempuh belakang sebuah lori yang dipandu lelaki berumur 30 tahun.

"Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang di bahagian hadapan van kesihatan tersepit, manakala dua penumpang di bahagian belakang mengalami kecederaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba dan ketiga-tiga penumpang dibawa ke HSA untuk rawatan lanjut.

Pemandu van disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HSA untuk proses bedah siasat, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Rupiah menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Najwa Abd Latif di talian 013-4144 997 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563 122.

Timbalan Penguasa Bomba I, Mohd Suhaimi Jamal dalam kenyataan berasingan memaklumkan bahawa empat kakitangan KKM itu dikenali sebagai Shamsul (pemandu), 49, penumpang hadapan Amelia Pek Ying Hung, 26, serta penumpang belakang iaitu Rosnilam Satari, 48, dan Azlina Mohd Rawi, 41.

Beliau berkata, operasi yang selesai pada jam 1.24 petang itu menggunakan peralatan khas 'ResQ Tools' untuk mengeluarkan mangsa tersepit dan mengambil masa 11 minit. - Bernama