X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Bekas CEO nafi dalang seleweng dana 1MDB

Najib ketika keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu.- Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abd Rahman menafikan beliau dalang dalam penyelewengan dana syarikat.

Beliau berkata demikian semasa prosiding di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas tuduhan menggunakan kedudukannya memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Ketika menjawab soalan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah iaitu peguam utama Najib, Mohd Hazem, 49, tidak bersetuju beliau adalah orang yang melakukan pelbagai kesalahan di syarikat berkenaan.

Saksi ke-10 pendakwaan itu juga memberi jawapan sama selepas Muhammad Shafee berpendapat bekas CEO 1MDB itu mengetahui dana AS$175 juta telah disalahgunakan untuk kepentingan ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Muhammad Shafee berkata, Jho Low dan rakan-rakannya bersekongkol dengan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Azmi Tahir; bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Terrence Geh dan beberapa individu lain.

Mohd Hazem hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebagai saksi perbicaraan kes pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.- Foto Bernama
Mohd Hazem hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebagai saksi perbicaraan kes pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.- Foto Bernama

Muhammad Shafee: Sila teliti, pembiayaan AS$250 juta yang diperoleh 1MDB dari Deutsche Bank dan AS$175 juta dipindahkan ke Aabar Investments PJS Ltd, juga dikenal sebagai 'Aabar palsu'. Anda memberikan justifikasi palsu untuk pemindahan dana?

Mohd Hazem: Tidak setuju.

Muhammad Shafee: Untuk melaksanakan P777A (perjanjian pilihan Aabar), anda melakukan dua kesalahan.

Mohd Hazem: Saya tidak setuju.

Muhammad Shafee: Anda melakukan cuci wang, bukan Najib, dengan menyamar hasil aktiviti haram dan mengalihkan dana dari Malaysia ke entiti asing.

Mohd Hazem: Saya tidak setuju.

Muhammad Shafee: Anda juga melakukan jenayah pengubahan wang haram.

Mohd Hazem: Tidak setuju.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Khamis.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!