Kedah mohon segera bekalkan 226,000 dos vaksin seminggu

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah mohon agar 226,000 dos vaksin Covid-19 dibekalkan ke negeri ini dalam seminggu seperti dijanjikan kerajaan Persekutuan sebelum ini bagi mempercepatkan program vaksinasi.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana program vaksinasi kepada guru akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan sedang diuruskan Jabatan Pendidikan Negeri.

Beliau berkata, ia antara agenda utama dalam memastikan sebanyak 80 peratus penduduk negeri ini yang layak menerima dos lengkap vaksin menjelang akhir Oktober atau awal November ini bagi membina imuniti kelompok, seterusnya menurunkan kes positif Covid-19.

“Kerajaan negeri mengambil maklum titah Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menzahirkan dukacita berkaitan peningkatan kes jangkitan pandemik Covid-19 di negeri ini.

"Pelbagai usaha digerakkan, antaranya menerusi misi pembangunan insan, kita akan melaksanakan program Vaksin Rohani secara maya yang akan disiarkan secara berkala.

"Program ini bertujuan untuk mendidik masyarakat mendepani cabaran kehidupan sepanjang tempoh pandemik,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco secara dalam talian pada Rabu.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, beliau yakin Kedah mencapai imuniti kelompok menjelang November berdasarkan kepada peningkatan bekalan vaksin iaitu daripada 80,000 kepada 226,000 dos seminggu selain persiapan fasiliti bagi proses vaksinasi.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri turut optimis untuk membuka semula sektor pelancongan di Langkawi bagi menghidupkan semula ekonomi penduduk tempatan.

Artikel Berkaitan:

“Kadar vaksinasi di Langkawi hampir mencapai sasaran untuk melaksanakan program ‘gelembung perjalanan’ atau ‘bubble travel’ bermula 1 September ini,” ujar beliau.

Muhammad Sanusi turut memaklumkan bahawa pihaknya meluluskan bantuan makanan barangan basah kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Nilam dan Bukit Malut, Langkawi sebanyak RM60,000.

“Isu berkaitan termasuk kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menambah bilangan ahli jemaah solat Jumaat. Kita terima banyak permohonan berhubung perkara ini termasuk daripada Persatuan Ulamak Malaysia (PUM) Negeri Kedah,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam Mesyuarat Exco berkenaan, beberapa keputusan telah dicapai.

"Antaranya membabitkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 23 September ini akan diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat selain mengambil panduan daripada persidangan DUN negeri-negeri lain.

“Sementara dalam sesi pembentangan Belanjawan 2022 pada November, kerajaan negeri akan membawa usul meminda Undang-Undang Tubuh Negeri bagi mengubah syarat layak untuk seseorang menjadi calon pilihan raya daripada 21 tahun kepada 18 tahun,” katanya.

Tambah beliau, Mesyuarat Exco turut meluluskan penyewaan aset dan peralatan pendigitalan pentadbiran kerajaan negeri dengan kos sebanyak RM2.35 juta, seiring dengan dasar pendigitalan pentadbiran dalam menuju wawasan Kedah 2035.