Erra utamakan didikan agama

No Image Caption
A
A
A

IBU bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam membesarkan anak mereka. Oleh sebab itu contoh yang baik perlu ditunjukkan.

Malah biarpun perkahwinan yang dibina tidak bertahan lama, namun ia bukan alasan buat mana-mana ibu bapa mengabaikan tanggungjawab pada anak mereka.

Begitu jugalah kisahnya dengan pelakon dan penyanyi popular, Erra Fazira yang cekal mendidik satu-satu anaknya, biarpun sudah lima tahun melewati fasa sebagai ibu tunggal.

Bukan senang sebagai ibu tunggal yang mempunyai kerjaya pada masa sama memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Berbicara mengenai peranan sebagai nakhoda, penyanyi Jendela Hati dan Pasrah ini berkata, sebagai ibu tunggal dalam membesarkan anak sudah tentu yang utama, pandangan oleh masyarakat dan diikuti faktor ekonomi, ibarat semuanya di bawah batu jemala patik.

“Bagaimanapun bila sudah dapat mengatasi dua cabaran itu dan berserah sebulat diri kepada ALLAH SWT, insya-ALLAH kita akan kuat dan dipermudahkan segalanya.

“Bagi pandangan masyarakat, kita bertanggungjawab untuk membawa diri dengan positif dan jangan rosakkan nama ibu tunggal.

“Untuk ekonomi pula, anda tidak akan berdepan masalah jika mempunyai kerjaya yang bagus. Pokok pangkal urus masa dengan teratur.

Artikel Berkaitan:

“Masa juga mempengaruhi cabaran sebagai ibu tunggal untuk berhadapan dengan kerja dan perhatian anak.

“Sebagai ibu tunggal, kena berikan contoh yang terbaik kepada anak supaya apabila dia dewasa kelak akan turut membawa keperibadian yang santun, insya-ALLAH,” katanya kepada Sinar Harian.

No Image Caption

Menyedari zaman semakin pesat dengan teknologi canggih dan penguasaan bahasa ketiga, Fazira Wan Chek atau Erra Fazira tetap mempunyai pendirian tegas.

“Sementelah itu, saya juga akan ajar anak tentang agama, hal ini tidak boleh dipisahkan meski hari ini sudah moden dan dia bercakap bahasa Inggeris.

“Begitu pun, balik di rumah dia tetap kena tunaikan apa yang harus dan wajib dilaksanakan.

“Konklusi nya berbalik kepada diri sendiri, bagaimana kita berdepan dengan duniawi dan akhirat,” ujarnya. Antara sikap lain yang patut dipuji lagi adalah bagaimana Erra sendiri sanggup melupuskan ego demi kebahagiaan anak perempuannya, Engku Aleesya.

“Perkara itu bukan datang daripada saya seorang sahaja, tapi ia memerlukan kerjasama daripada pihak sebelah sana juga.

“Kalau saya sahaja yang meminta dan tiada respon pasti kecewa.

“Justeru saya rasa, perlu ada kesedaran daripada semua pihak rendahkan ego dan buang amarah demi anak,” jelas Erra. Terdahulu, Erra selamat diijabkabulkan bersama Engku Emran pada 25 Oktober 2007, namun bercerai sekitar awal Februari 2014.

Hasil perkahwinan selama tujuh tahun mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya.

Ini merupakan perceraian kedua buat Erra, sebelum ini pernah berkahwin dengan Yusry Abdul Halim.

No Image Caption

Erra bakal muncul sebagai juri tetap menerusi program baharu di Astro Warna iaitu Miss Lawak yang dijadualkan bersiaran setiap hari Rabu bermula 6 Mac, pukul 9 malam.

Berbicara sebagai juri komedi, Ratu Cantik Miss Malaysia-World 1992 menyambut baik tanggungjawab yang diamanahkan untuk menilai 18 peserta musim pertama ini sebaiknya.

“Bersesuaian dengan title Miss, maka antara kriteria saya akan lihat adalah bagaimana peserta apabila mereka catwalk mestilah dengan betul disertai elemen komedi itu sendiri.

“Selain itu, kreativiti peserta ketika sesi Q&A nanti. Pendek kata, juri mahukan Miss Lawak yang berkualiti,” katanya.

No Image Caption

Antara barisan juri lain ialah Datuk AC Mizal dan dihoskan oleh Datuk Afdlin Shauki.

Mengenai karier nyanyian, Erra bakal muncul single terbaharu berjudul Menangkah Cinta.