Sinergi Media jayakan Malaysia #QuranHour

Malaysia #QuranHour kini mengalami evolusi apabila boleh diikuti melalui kaedah aplikasi Zoom atau Google Meet pada 30 Ogos ini.
Malaysia #QuranHour kini mengalami evolusi apabila boleh diikuti melalui kaedah aplikasi Zoom atau Google Meet pada 30 Ogos ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia #QuranHour untuk tahun ketujuh bertemakan 'Formula Malaysia Berbudi dan Penyayang' akan diteruskan dengan kerjasama dan sokongan rakan Sinergi Media Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan 2021 pada 30 Ogos ini.

Pengerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, World #QuranHour kini mengalami evolusi di mana penyertaan daripada masyarakat akan dilakukan melalui kaedah aplikasi Zoom atau Google Meet.

“Bayangkan, kali ini kita membaca al-Quran di rumah masing-masing secara beramai-ramai melalui teknologi. Jadi maknanya ini evolusi yang kita akan lakukan.

“Masyarakat masih boleh ikut serta membaca melalui aplikasi ini dan akan dipaparkan di televisyen bersama qari. Tahun ini kita akan buat kempen besar-besaran tentang perubahan konsep.

Hussamuddin
Hussamuddin

“Saya rasa ini merupakan satu titik baharu dan kita sudah tidak boleh gunakan cara yang lama. Kita kena bawa pendekatan baharu dan teruskan berinovasi.

“Yang penting misi kita untuk mengikhlaskan ummah diteruskan dan saya yakin ALLAH SWT akan bantu kita," katanya pada Majlis Taklimat Sinergi Media Sempena Malaysia #QuranHour 1443H/2021 pada Rabu.

Malaysia #QuranHour di bawah naung Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dianjurkan oleh WUIF dengan kerjasama rakan sinergi termasuk TV AlHijrah, RTM, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani, Utusan TV, Sinar TV dan Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Nu Ideativ, IKIMfm, News Straits Times Press (NSTP), Zayan FM, Denaihati.com, Pusat Pelancongan Islam (ITC), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Rumah Ngaji dan Sahabah Al-Quran.

Dalam pada itu, Hussamuddin yang juga Pengerusi Kumpulan Karangkraf berkata, konflik politik yang sedang berlaku dalam negara adalah disebabkan rahmat ALLAH SWT yang semakin hilang.

Tambah beliau, sifat berbudi dan penyayang manusia juga semakin pudar hingga menyebabkan mereka mudah hilang pertimbangan, integriti, kredibiliti, tamak dan hanya mementingkan kuasa serta tidak kisah tentang rakyat.

“Jadi saya rasa penting untuk kita membawa misi ini secara lebih agresif supaya sampai ke setiap rumah-rumah umat Islam di negara ini.

“Walaupun kita negara Islam, tapi nilai Islamnya sudah hilang. Jadi kita nak kembalikan nilai tersebut supaya masuk ke dalam hati.

“Macam saya selalu sebut, Islam adalah cara untuk hidup dan persiapan untuk kematian kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, agenda berinteraksi dengan al-Quran tahun ini membawakan formula untuk menyembuh dan merawat Malaysia dengan solusi daripada Ilahi iaitu, Surah Al-Mulk dan juga tujuh Surah Musabbihat.

Marhaini
Marhaini

Jelas beliau, dengan kemelut politik hari ini dan suasana pandemik yang bagaikan tiada penghujung, ramai yang terkesan sehingga menjadi cabaran bagi mengesahkan pelaksanaan Malaysia #QuranHour di peringkat kementerian, dalam dan luar negara.

“Namun, kami optimis dan berharap bantuan ALLAH SWT untuk menjadikan Surah Al-Mulk dan tujuh Surah Musabbihat sebagai momentum kepada semua rumah, sekolah, universiti, organisasi, komuniti, pemimpin dan rakyat Malaysia dalam dan luar negara ke arah lebih baik.

“Seruan berinteraksi dengan al-Quran kali ini, kami sasarkan kepada golongan pemimpin dan ibu bapa untuk mengajak keluarga meluangkan masa sejam pada 30 Ogos ini pada jam 12 hingga 1 tengah hari untuk ikuti secara langsung dari TV AlHijrah,” ujarnya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif, Mohd Ashrudy Borhan menjelaskan antara konsep pembaharuan #QuranHour kali ini bakal melibatkan pembabitan empat orang panel dan juga seorang pentadabbur jemputan.

Mohd Ashrudy
Mohd Ashrudy

Katanya, selain penambahbaikan dari segi studio, program kali ini turut menampilkan jurubahasa isyarat khusus untuk golongan pekak untuk bersama-sama mengikuti pemahaman tadabbur.

“Seterusnya, untuk beri satu impak supaya orang teruja dengan program ini, insya-ALLAH dengan pembabitan digital media, kita akan buat segmen di balik tabir setengah jam sebelum bermulanya program di platform Facebook AlHijrah,” jelasnya.