Perkeso jalin kerjasama bantu pekerja sertai semula pasaran pekerjaan

Perkeso menyokong perlindungan keselamatan sosial dalam kalangan PKS
Perkeso menyokong perlindungan keselamatan sosial dalam kalangan PKS
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjalin kerjasama dengan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia serta lima institusi pengajian tinggi swasta untuk kerjasama jangka panjang berkaitan perlindungan keselamatan sosial Perkeso termasuk program pasaran buruh aktif.

Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai dalam majlis secara maya antara Perkeso dan Persatuan PKS Malaysia bersama Universiti Taylor’s, Universiti HELP, Kolej Universiti Antarabangsa INTI, Universiti Tunku Abdul Rahman dan Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman pada Rabu.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya menyokong perlindungan keselamatan sosial dalam kalangan PKS termasuk membantu pekerja menyertai semula pasaran pekerjaan.

“Memandangkan PKS menyumbang peluang pekerjaan kepada lebih daripada separuh populasi pekerja di Malaysia, semestinya Persatuan PKS Malaysia adalah rakan strategik Perkeso yang paling sesuai dalam membentuk kerjasama dengan majikan PKS,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama jangka panjang tiga penjuru antara Perkeso, majikan dan pihak universiti bertujuan meningkatkan kadar penempatan pekerjaan graduan institusi berkenaan menerusi program pasaran buruh aktif oleh Perkeso.

“Menerusi MoU ini, Perkeso berharap dapat mengurangkan ketidaksepadanan antara kemahiran yang disediakan oleh pihak universiti dengan kemahiran yang diperlukan majikan,” jelas beliau.

Hingga Julai lalu, penularan Covid-19 telah mengakibatkan kira-kira 150,000 pekerja formal kehilangan pekerjaan dan lebih 768,700 individu kekal menganggur. - Bernama

Artikel Berkaitan: