Tak perlu tinggal dalam pondok lagi

Rumah sewa baharu Rahman sekeluarga di Kampung Baru Padang Sanai, Kuala Nerang. - Foto Ihsan RIZDUAN DAUD
Rumah sewa baharu Rahman sekeluarga di Kampung Baru Padang Sanai, Kuala Nerang. - Foto Ihsan RIZDUAN DAUD
A
A
A

KUALA NERANG - Lima beranak yang sebelum ini terpaksa mendiami sebuah dangau di dalam dusun di Kuala Nerang sejak tiga bulan lalu berpindah ke sebuah rumah sewa pada petang Rabu.

Nur Shakila Abd Rahman, 38, berkata, mereka didatangi beberapa individu yang mempelawa mereka untuk berpindah ke sebuah rumah sewa di Kampung Baru Padang Sanai dekat sini.

Menurutnya, dia dan suami, Rahman Ismai, 37, menerima pelawaan tersebut selepas memikirkan keselesaan dan pendidikan anak-anak yang boleh mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) selepas ini.

"Alhamdulillah syukur kepada individu yang membantu kami untuk menyewa rumah ini. Kami tidak mengenali beliau dan difahamkan dia ada kedai membaiki kereta di Pokok Sena.

"Anak-anak ceria dan gembira apabila dapat berpindah ke rumah sewa ini. Lepas ini suami mahu mencari kerja bagi menampung kehidupan kami sekeluarga," katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.

Nur Shakila berkata, dua anaknya iaitu Muhammad Rafiq Rahman, 11, dan Muhammad Raziq Rahman, 7, akan mengikuti pembelajaran dalam talian kerana kawasan rumah sewa itu mempunyai liputan telefon dan internet.

"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu kami. Kami sangat menghargai keprihatinan semua," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pondok dalam dusun jadi tempat tinggal lima beranak

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Urusan DK Speed Auto Garage, Rizduan Daud berkata, beliau terpanggil untuk membantu keluarga tersebut selepas kisah mereka tular dan mendapat liputan media.

Menurutnya, pihaknya akan membiayai sewa bulanan bagi meringankan beban Rahman yang terputus pendapatan akibat tidak bekerja disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Rizduan (depan) membantu membawa keluarga tersebut ke rumah baharu mereka di Kampung Baru Padang Sanai, Kuala Nerang pada Rabu. - Foto Ihsan RIZDUAN DAUD
Rizduan (depan) membantu membawa keluarga tersebut ke rumah baharu mereka di Kampung Baru Padang Sanai, Kuala Nerang pada Rabu. - Foto Ihsan RIZDUAN DAUD

"Sewa rumah baharu mereka ini adalah RM450 sebulan, tetapi tuan rumah hanya minta bayaran RM400 sahaja kerana dia juga mahu membantu keluarga ini.

"Saya membantu mereka sebab pernah melalui kesusahan dan memahami apa yang dirasai mereka sejak tinggal di dangau itu. Syukur ramai pihak yang turut tampil membantu," katanya yang membantu atas kapasiti sendiri dan tidak mewakili mana-mana badan bukan kerajaan (NGO).

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan ekoran tidak mampu membayar sewa rumah selepas kehilangan pekerjaan, lima beranak terpaksa mendiami sebuah dangau di dalam dusun di Kampung Lok Koi, Kuala Nerang di sini sejak tiga bulan lalu.

Keperitan hidup mereka bagaimanapun terbongkar apabila dua beradik dalam keluarga berkenaan tidak menyertai PdPR sejak berpindah ke dangau berkenaan.