Pekerja syarikat pembinaan disamun ketika tidur

Antara barang yang dirampas selepas polis menahan dua lelaki di Taman Sentosa pada Rabu.
Antara barang yang dirampas selepas polis menahan dua lelaki di Taman Sentosa pada Rabu.
A
A
A

KLANG - Polis menahan dua lelaki kerana disyaki menyamun pekerja syarikat pembinaan yang sedang mengubah suai sebuah rumah di Taman Klang Jaya di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pengadu yang merupakan pengurus syarikat pembinaan berkenaan menerima panggilan daripada mangsa sekitar jam 4.15 petang sebelum membuat laporan.

"Pengadu diberitahu oleh pekerjanya bahawa mereka telah disamun ketika tidur di dalam bilik hadapan oleh dua orang lelaki menggunakan sebilah parang.

"Barang yang diambil adalah tiga buah telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM280, serta rantai dan cincin perak," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, dua lelaki berusia 37 tahun itu diberkas di Taman Sentosa di sini oleh sepasukan polis dari Cawangan D9 dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang sekitar jam 1 pagi pada Rabu.

"Suspek tidak mengaku menyamun, tetapi secara kebetulan masuk ke dalam rumah untuk mencuri peralatan yang digunakan untuk pengubahsuaian rumah.

"Polis merampas sebuah kereta jenis Protos Saga, telefon bimbit Samsung dan Vivo, topi tertera tulisan Polo, sebilah parang, mesin gerudi serta mesin hacker tertera tulisan Anchor," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua suspek direman selama enam hari dan hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah serta dadah.

Artikel Berkaitan:

"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan," katanya.