X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Beruang matahari ganggu penduduk ditangkap

Beruang matahari yang mengganggu tanaman penduduk kawasan Felda Perasu, Gua Musang berjaya ditangkap pada Selasa.
A
A

GUA MUSANG - Seekor beruang matahari yang menimbulkan kebimbangan penduduk kawasan Felda Perasu di sini berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada Selasa.

Beruang jantan seberat 70 kilogram yang berusia dalam lingkungan empat hingga lima tahun itu kemudian dilepaskan ke Taman Negara Terengganu pada jam 4 pagi Rabu.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, penangkapan beruang matahari itu memberi kelegaan kepada penduduk di kawasan berkenaan untuk kembali mengusahakan kebun masing-masing dengan selamat.

"Beruang ini dipercayai keluar dari kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Rabong yang terletak bersebelahan lokasi Felda Perasu.

"Haiwan yang dilindungi itu keluar untuk mencari sumber makanan selain menjadikan lokasi sekitar sebagai laluan serta kawasan rayau," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, operasi penangkapan susulan aduan penduduk kawasan Felda Perasu yang diganggu haiwan berkenaan.

"Tanaman pokok kelapa milik penduduk di kawasan berkenaan turut dirosakkan haiwan terbabit pada Jun lalu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, penduduk kampung dinasihatkan supaya sentiasa membersihkan kawasan tanaman dan kebun supaya tidak dibiarkan semak.

"Langkah ini merupakan salah satu cara untuk mengurangkan kehadiran hidupan liar di kawasan berkenaan," katanya.

Selain itu, katanya, langkah mitigasi yang boleh dijalankan komuniti setempat ialah dengan memasang pagar elektrik mudah alih di kawasan sekitar kebun bagi mengelakkan hidupan liar memasuki kawasan tanaman.

"Bagaimanapun, pemasangan pagar elektrik ini hendaklah terlebih dahulu dirujuk kepada Perhilitan untuk dilihat kesesuaian, seterusnya mengelakkan sebarang kemalangan terhadap hidupan liar dan orang awam," kata beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!