Anak positif dadah ugut bunuh ibu guna gunting

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Seorang lelaki ditahan polis kerana mengugut bunuh ibunya sendiri dalam kejadian di perumahan Jalan Pandan Indah di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, lelaki berusia 27 tahun itu berada di ruang tamu bersama ibunya berusia 54 tahun.

"Ketika kejadian, lelaki berkenaan memegang senjata tajam berupa gunting dan mengacukan kepada ibunya dan mengugut untuk membunuh mangsa. Selain itu, suspek turut mendakwa mangsa bukan ibunya dan mengeluarkan kata-kata ugutan.

"Mangsa yang terkejut terus masuk ke dalam bilik dan mengunci bilik akibat ketakutan," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, ketika kejadian, seorang lagi anak lelaki mangsa berusia sembilan tahun berada di rumah.

"Suspek kemudian diberkas sebelum polis merampas sebilah gunting kecil dalam serbuan itu," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa merupakan ibu tunggal dan hasil perkahwinan dikurniakan dua orang anak lelaki.

"Siasatan mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau. Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methaphatamine.

Artikel Berkaitan:

"Ketika kejadian, suspek di bawah pengaruh dadah," katanya.

Tambah beliau, suspek direman empat hari untuk siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.