NGO di bawah Gabung cadang tubuh majlis khas pemulihan krisis

Kenyataan bersama NGO di bawah Gabung pada Rabu.
Kenyataan bersama NGO di bawah Gabung pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Gabungan Melayu (Gabung) akan menyerahkan satu warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon perkenan cadangan mereka mengenai penubuhan Majlis Khas Pemulihan Krisis Negara.

Koordinator Gabung, Ahmad Yazid Othman berkata, cadangan tersebut seumpama Majlis Gerakan Nasional (Mageran) terlebih dahulu perlu berkuat kuasa segera sehingga satu tempoh bersesuaian untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk menyelesaikan beberapa masalah utama negara.

“Semestinya ia dianggotai oleh pakar-pakar bidang, teknokrat, agamawan yang non-partisan dan sebaiknya bukan dari kalangan ahli politik yang pasti akan terganggu ketika ini.

“Jawatankuasa atau majlis ini mesti mengambil iktibar daripada kelemahan dan kegagalan kerajaan-kerajaan sebelum ini iaitu sejak merdeka yang adakalanya bersikap retorik dan tiada tambah nilai dalam usaha pentadbiran kerajaan.

“Oleh itu, kami mewakili hasrat rakyat yang tidak berkepentingan politik akan menyerahkan Warkah Rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong pada jam 11 pagi Khamis di Istana Negara,” katanya dalam satu kenyataan bersama pada Rabu.

Antara NGO dalam kenyataan bersama itu ialah Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahya; Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar; Pengerusi Bersama Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Lukman Sheriff Alias.

Turut serta ialah Pengerusi Bersama MACSA, Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar; Pengasas Piagam Rakyat, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Dr Abdul Halim Husin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Yazid berkata, cadangan itu disuarakan sebagai penyelesaian kepada konflik politik yang agak sukar dicapai dengan konfigurasi sedia ada dan rakyat semakin resah melihat situasi semasa.

Menurutnya, keyakinan dan kepercayaan rakyat semakin hilang terhadap golongan politikus yang tidak pernah reda daripada pergolakan.

“Namun dalam masa sama, kami berkeyakinan dan menaruh harapan tinggi kemelut ini dapat diselesaikan atas apa yang diputuskan dengan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-raja Melayu,” kata beliau.