Pinda laporan 1MDB: Pendakwaan fail permohonan ke Mahkamah Tinggi

Arul Kanda
Arul Kanda
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini, hari ini diberitahu, kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy itu, telah difailkan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi oleh pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Amir Nasrudin memaklumkan demikian ketika sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Pihak kami telah memfailkan permohonan memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi. Mohon satu tarikh sebutan selepas kami mengetahui sama ada, permohonan pindah ke Mahkamah Tinggi ini dibenarkan atau tidak,” katanya.

Azura menetapkan 5 April untuk sebutan semula kes di mahkamah sama.

Ketika ditemui Bernama, Amir memberitahu permohonan memindahkan kes itu telah difailkan semalam, bagaimanapun tarikh pendengaran permohonan itu di Mahkamah Tinggi belum ditetapkan.

Beliau berkata semalam, pihaknya juga telah menyerahkan 26 set dokumen berkaitan kes, kepada pihak pembelaan.

Pada prosiding hari ini peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee mewakili Najib, 66, manakala peguam Datuk N.Sivananthan mewakili Arul Kanda, 43.

Pada 12 Disember 2018, Najib, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

Dia didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Anggota Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan tersebut, bagi melindungi Anggota Parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Pada 4 Januari lalu, Azura membenarkan permohonan pihak pendakwaan, supaya kedua-dua kes Najib dan Arul Kanda itu dibicarakan bersama. - Bernama