Peniaga rugi lebih RM26,000

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga yang menjadi mangsa sindiket tawaran pinjaman wang tidak wujud terpedaya apabila membayar RM8,500 sebagai insurans Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) bagi mengatifkan kembali akaun banknya yang disekat.

Peniaga berusia 29 tahun dari Jerantut itu membuat pembayaran berkenaan Selasa lalu sedangkan kemudahan skim insurans itu disediakan kerajaan secara percuma bagi melindungi deposit pelanggan sekiranya bank berdepan kegagalan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang memohon pinjaman RM80,000 itu mengalami kerugian keseluruhan lebih RM26,000 akibat terpedaya dengan taktik licik suspek.

Menurutnya, mangsa berminat untuk membuat pinjaman itu selepas tertarik dengan tawaran iklan pinjaman peribadi yang diiklankan melalui Facebook itu ketika melayarinya 21 Februari lalu.

“Mangsa kemudiannya dihubungi seorang lelaki untuk urusan proses pinjaman sebelum dia diminta membuat bayaran RM4,500 untuk membuka akaun.

“Mangsa juga diminta membuat bayaran deposit ansuran selama enam bulan sebanyak RM5,150 dan dia membuat semua bayaran seperti diarahkan melalui sebuah akaun bank yang diberikan sindiket,”katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas bayaran itu dijelaskan sepenuhnya Selasa lalu, suspek menghubunginya memaklumkan wang pinjaman sudah dimasukkan ke dalam akaun namun akaun itu telah disekat.

“Bagi mengaktifkan akaunnya kembali, mangsa diminta membayar wang PIDM, RM3,500 dan perlu membeli insuran PIDM berjumlah RM8,500 dan dia menjelaskan semua bayaran itu pada hari sama,”katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mangsa mula syak dia ditipu apabila suspek mengarahkannya membuat bayaran tambahan RM8,000 lagi.

“Mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.