Beberapa PPV di Negeri Sembilan akan ditutup kerana kekurangan vaksin

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN – Beberapa operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam di Negeri Sembilan akan ditutup minggu ini berikutan masalah kekurangan bekalan vaksin di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau telahpun memaklumkan berkenaan kekurangan vaksin yang diterima kepada menteri berkaitan dan masih menunggu maklum balas.

“Minggu ini Negeri Sembilan mendapat vaksin yang agak kurang daripada pihak Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) Persekutuan, biasanya kita dapat sekitar 25,000 dos sehari tetapi minggu ini sekitar 21,000 dos sahaja.

“Dos vaksin ini kita diberikan seminggu sekali jadi kita perlu jadualkan dalam tempoh tujuh hari. Oleh itu, kemungkinan ada beberapa PPV awam yang terpaksa ditutup hujung minggu ini kerana kita tiada vaksin untuk diberikan, kita berharap Negeri Sembilan dapat diberikan lebih sedikit vaksin pada minggu hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, setakat ini seramai 539,975 atau 66.3 peratus penduduk berusia 18 tahun di negeri ini telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

"Jumlah vaksinasi harian bagi dos pertama 5,873 orang dan dos kedua 14,897 orang," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau melahirkan harapan supaya Perdana Menteri baharu yang akan dilantik dapat menjadikan Malaysia lebih baik termasuk dari segi vaksinasi dan kes Covid-19.

Artikel Berkaitan: