'Kemelut politik PN ibarat pinggan mangkuk bersentuhan'

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - "Kemelut politik melanda Perikatan Nasional (PN) ibarat pinggan mangkuk, apabila bersentuhan berbunyi sedikit, tetapi akan kembali pada tempatnya," kata Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut beliau, situasi semasa politik termasuk peletakan jawatan seluruh kabinet kerajaan PN tidak menjejaskan kerjasama Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai oleh Pas dan UMNO sebelum ini.

"Sehingga kini tiada sebarang perubahan ke arah negatif yang boleh menggugat usaha gagasan berkenaan dalam mengukuhkan agenda penyatuan ummah di Malaysia.

"Saya percaya Pas tetap komited mempertahankan MN dan PN kerana itu adalah matlamat akhir dalam menyatukan seluruh masyarakat Melayu-Islam di negara ini supaya menjadi satu kelompok yang kuat dan disegani," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu turut menyuarakan keyakinan bahawa polemik yang timbul susulan perubahan suhu politik negara akan selesai dalam tempoh terdekat.

"Isu politik ini umpama pasaran saham, ia sangat dinamik. Insya-ALLAH, Malaysia akan keluar daripada ketidaktentuan ini tidak lama lagi,” katanya.

Senario politik negara sebelum ini menjadi hangat setelah 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan yang diterajui PN.

Keadaan itu menyebabkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil keputusan meletakkan jawatan setelah kehilangan sokongan majoriti sokongan ahli Parlimen serta cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkan juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Artikel Berkaitan: