X

Kindly register in order to view this article
!

22,242 kes baharu Covid-19, tertinggi sejak pandemik

Kes baharu positif Covid-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu kembali melonjak kepada 22,242 kes.
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Angka baharu positif Covid-19 terus melonjak kepada 22,242 kes pada Rabu, sekali gus merekodkan jangkitan harian tertinggi sejak pandemik melanda negara.

Selain Selangor yang kekal mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 6,858 kes, terdapat lapan negeri melaporkan kes melebihi 1,000 termasuk Sabah sebanyak 2,413 kes.

Negeri tersebut ialah Pulau Pinang (1,867), Kedah (1,852), Kuala Lumpur (1,587), Johor (1,477), Sarawak (1,403), Kelantan (1,351) dan Perak (1,036).

Pahang pula merekodkan sebanyak 675 kes, diikuti Melaka (579), Terengganu (487), Perlis (50), Putrajaya (25) dan Labuan (lima).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif setakat Rabu ialah 1,466,512 kes.

"Daripada jumlah kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 430 kes adalah daripada kategori tiga dan ke atas," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, sebanyak 21,812 kes lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.

"Seramai 188 pesakit dirawat pada kategori lima yang tidak mempunyai dan tidak lengkap vaksin berbanding 19 individu di wad sama yang telah lengkap dos suntikan," jelasnya.

Beliau berkata, pesakit tidak mempunyai vaksin atau tidak lengkap vaksinasi yang dirawat pada kategori satu adalah seramai 8,955 orang, manakala kategori dua pula seramai 9,297 orang.

"Bagi kategori satu dan dua yang telah lengkap suntikan dos, masing-masing hanya 1,680 dan 1,880 kes sahaja," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 254,484 kes aktif direkodkan di seluruh negara termasuk 1,060 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Seramai 540 pesakit memerlukan bantuan pernafasan," ujarnya.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 225 kes kematian berkaitan Covid-19 membabitkan 198 warga negara dan 27 warga asing.

"Bagi kes kematian di luar fasiliti perubatan, sebanyak 35 kes direkodkan terdiri daripada 27 warganegara dan lapan bukan warganegara," katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, kes sembuh turut merekodkan angka tertinggi iaitu seramai 19,680 orang.

"Jumlah keseluruhan kes sembuh ialah 1,198,726," katanya.

Mengulas mengenai kluster, Dr Noor Hisham berkata, sekurang-kurangnya 49 kluster baharu telah dikenal pasti.

"Sebanyak 30 daripadanya adalah kluster tempat kerja, selain 13 kluster komuniti, lima kluster kumpulan berisiko tinggi dan satu pusat tahanan," katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kluster ialah 4,306 yang mana 2,920 telah diisytiharkan tamat dan selebihnya iaitu 1,386 kluster masih aktif.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!